MICHAEL (kanan) tarik perhatian PAFA. FOTO/NSTP
MICHAEL (kanan) tarik perhatian PAFA. FOTO/NSTP
Mohd Hafizee Mohd Arop


IPOH: Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) sedang berbincang dengan ejen pemain kebangsaan Singapura, Faris Ramli dan pertahanan PKNS FC, Zachary Michael atau dikenali sebagai Zac Anderson bagi mendapatkan khidmat kedua-dua pemain itu pada musim depan.

Kedua-dua pemain itu dijangka menguatkan pasukan bagi menggantikan dua pemain import yang digugurkan iaitu penyerang dari Filipina, Misagh Bahadoran serta pemain pertahanan dari Lubnan, Jad Noureddine.

Pemangku Presiden PAFA, Datuk Muhammad Yadzan Mohammad berkata, Perak akan mengekalkan tiga pemain import iaitu Leandro Dos Santos, Wander Luiz dan Gilmar Jose Da Silva yang menunjukkan aksi baik sepanjang musim lalu.

Katanya, pengambilan kedua-dua pemain itu adalah untuk memantapkan lagi jentera tengah dan pertahanan bagi musim depan namun ia bergantung kepada perbincangan lanjut dengan ejen kedua-dua pemain itu.

"Perbincangan masih dilakukan dengan ejen kedua-dua pemain itu dan kesemua ini akan dimuktamadkan pada bulan depan kerana latihan perlu dijalankan selepas ini bagi memantapkan pasukan.

"Namun perbincangan itu juga bergantung dengan bajet serta bayaran gaji kedua-dua pemain ini, kalau kena dengan bajet, kita akan mengambil mereka untuk musim depan," katanya ketika dihubungi NSTP.

Muhammad Yadzan sebelum ini mengumumkan sekurang-kurangnya enam pemain atau 15 peratus daripada skuad Perak yang menjulang Piala Malaysia lalu akan digugurkan termasuk  Bahadoran dan Noureddine.

Ditanya mengenai penjaga gol, Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy yang turut dirisik kelab dari Thailand, Muhammad Yadzan berkata, pihaknya akan berbincang dengan Hafizul bagi mengekalkannya musim depan.

"Itu semua terpulang kepada Hafizul (sama ada ingin beraksi di luar negara atau kekal), tetapi bagi kami, kami ingin mengekalkannya kerana dia mempunyai aura sebagai penjaga gol meyakinkan.

"Daripada segi pengurusan pula, kita akan mengekalkan barisan kejurulatihan sama, cuma ada satu dua pertukaran dan Ketua Jurulatih Mehmet Durakovic mahu barisan kejurulatihan sama dikekalkan," katanya.

Sementara itu, mengenai isu jawatan presiden PAFA, Muhammad Yadzan berkata, pihaknya akan menghantar surat rasmi kepada Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu untuk mengadakan perbincangan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 November 2018 @ 1:16 PM