HAMIDIN Mohd Amin
HAMIDIN Mohd Amin
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Pasukan Petugas Khas Presiden (PTF) Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan memperhalusi elemen-elemen yang diperlukan bagi memperkasakan prestasi pasukan kebangsaan pelbagai peringkat umur dan tidak terhad kepada cabang bola sepak.

Bersidang buat kali kedua semalam dengan PTF membincangkan beberapa elemen yang harus diperkasakan dari aspek pembentukan pasukan kebangsaan di bawah naungan badan induk itu.

Dalam mesyuarat PTF yang diadakan di Wisma FAM serta dipengerusikan oleh Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, sembilan anggota pasukan petugas khas itu mengemukakan beberapa usul dan idea bagi meningkatkan prestasi pasukan kebangsaan bola sepak senior, pelapis, wanita, futsal dan bola sepak pantai.

Hamidin berkata sidang PTF memperhalusi maklum balas ahli berhubung perkembangan pasukan kebangsaan, termasuk idea-idea membabitkan kriteria pemilihan pemain naturalisasi, budaya prestasi tinggi, penerapan DNA bola sepak negara mengikut sosio-budaya sedia ada, mewujudkan kod etika dan mempromosi nilai-nilai murni menerusi bola sepak serta langkah-langkah jangka masa pendek, sederhana dan panjang bagi mendepani cabaran melayakkan diri ke pelbagai kejohanan peringkat serantau, benua dan global.

"Elemen pasukan kebangsaan adalah topik pertama dibincangkan sebagai sebahagian daripada enam elemen utama yang menjadi terma rujukan PTF, iaitu Pasukan Kebangsaan, Pembangunan Akar Umbi dan Remaja, Pendidikan Kejurulatihan dan Prestasi Tinggi, Bola sepak Wanita, Futsal dan Bola Sepak Pantai, Pertandingan serta Tadbir Urus dan Kelestarian Kewangan," katanya.

"Kami membincangkan hala tuju pasukan kebangsaan sama ada senior, pasukan pelapis, bola sepak wanita, futsal lelaki dan wanita mahupun bola sepak pantai. FAM menghargai maklum balas dan idea-idea daripada semua ahli PTF dalam membawa dimensi baharu dari segi percambahan idea serta sama ada idea-idea terbabit ada unsur kebolehlaksanaan yang tinggi," kata Hamidin.

Turut dibincangkan ialah kaedah pemilihan pemain, pendidikan kejurulatihan yang lebih menyeluruh, pendedahan luar negara serta program tindik dengan pasukan luar dan pembabitan ahli gabungan FAM.

Antara yang hadir dalam persidangan itu ialah Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia, Datuk Ruzain Idris, bekas Pengarah Bahagian Sukan Kementerian Pendidikan, Datuk Ee Hong, pensyarah di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Sivamurugan Pandian dan pensyarah kanan di Fakulti Undang-undang, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Mohd Bahrin Othman. Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Berjaya Corporation Berhad, Abdul Jalil Abdul Rasheed, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Bank Muamalat Malaysia Berhad, Khairul Kamarudin serta wakil penyokong, Muhammad Tarmizi Abdul Aziz dan wakil media, Ooi Kin Fai.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Oktober 2021 @ 10:14 PM