FAM dan JFA mengadakan perbincangan dua hala. FOTO FAM
FAM dan JFA mengadakan perbincangan dua hala. FOTO FAM
Ferzalfie Fauzi


PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) dan Persatuan Bolasepak Jepun (JFA) mengadakan perbincangan dua hala selama lima hari bermula semalam di Tokyo selaras dengan Perjanjian Persefahaman (MoU) yang ditandatangani di Pejabat Perdana Menteri, April lalu.

Delegasi FAM ke Jepun yang diketuai Presidennya, Datuk Hamidin Mohd Amin, dijemput rakan sejawatannya di JFA, Kohzo Tashima, selepas MoU ditandatangani di Putrajaya sambil disaksikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Presiden FIFA, Gianni Infantino.

Lawatan di JFA House ini membuka ruang pembangunan mengenai kem latihan skuad kebangsaan, pendidikan kejurulatihan, pembangunan pengadil, pembangunan teknikal dan belia, pembangunan akar umbi, bola sepak wanita dan futsal serta jalinan hubungan kerajaan.

Selain barisan exco FAM, turut menganggotai delegasi FAM ialah Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail dan Ahmad Redzuan Shafi, Pegawai Khas kepada Menteri Belia dan Sukan.

Selepas pembentangan kertas kerja dan perbincangan dua hala ini, FAM dijangka memuktamadkan beberapa elemen permuafakatan dengan JFA membantu menambah baik prestasi pemain secara individu dan kelompok pemain secara berpasukan.

Pertemuan dua hala ini sangat terbuka dan telus di mana kedua-dua negara berbincang mengenai cabaran sedia ada, kekuatan dan kelemahan serta idea-idea yang boleh dijadikan panduan kepada pembangunan bola sepak di peringkat tempatan.

Sebagai permulaan, JFA membentangkan topik pembangunan wanita serta cabarannya terutama selepas mereka menjadi juara Piala Dunia FIFA Wanita pada 2011, serta pembangunan remaja, pendidikan jurulatih dan pembangunan akar umbi serta kaedah persiapan dari sudut faktor luaran skuad senior lelaki menjelang Piala Dunia FIFA 2018.

Delegasi FAM juga dimaklumkan pembangunan akar umbi di Jepun tidak mempunyai had usia bagi memastikan setiap golongan dan lapisan masyarakat diberi ruang menikmati bola sepak seperti pesta bola sepak kanak-kanak dan bola sepak berjalan atau 'walking football'.

Setakat Mac 2019, Jepun mempunyai sejumlah 889,959 pemain, 27,918 pasukan, 81,883 jurulatih dan 274,544 pengadil.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Ogos 2019 @ 9:25 PM