Penyerang Liverpool, Mohamed Salah. FOTO AFP
Penyerang Liverpool, Mohamed Salah. FOTO AFP
Agensi

London: Mohamed Salah berkata rahsia pamer prestasi menakjubkan adalah memberitahu kepada diri sendiri bahawa dia adalah pemain terbaik dalam dunia.

Penyerang Liverpool itu meledak 12 gol dalam 11 penampilan dan berada dalam senarai pemain pilihan yang akan memenangi anugerah Ballon d'Or bulan depan.

Salah menjelaskan: "Sememangnya menjadi cita-cita saya untuk menjadi pemain terbaik di dunia. Saya tidak perlu berbohong.

"Ia sesuatu yang menjadi pendorong semangat untuk bekerja lebih kuat dan berusaha beraksi dengan baik.

"Dalam fikiran saya, saya adalah pemain terbaik.

"Saya cuba meyakinkan perkara itu dalam minda. Tak kisah jika ada orang yang bersetuju dengan anda dan ada segelintirnya tidak bersetuju."

Bos Liverpool, Jurgen Klopp memuji persembahan Salah dan menyifatkan dia antara penyerang terbaik dunia - mengatasi Ronaldo dan Lionel Messi.

Malah tambah Salah: "Ia kedengaran hebat buat saya, tetapi ia tetap mengenai pendapat.

"Saya gembira dengan prestasi saya buat masa ini, tetapi saya tetap menyatakan ia sebagai hanya satu pendapat.

"Saya tidak boleh cakap saya adalah yang terbaik dalam dunia - ada yang setuju dan ada pula sebaliknya."

Salah menjadi pemain pertama Liverpool menjaringkan gol dalam sembilan perlawanan berturut-turut dengan dua jaringannya membantu kemenangan ke atas Atletico Madrid pada saingan Liga Juara-Juara minggu lalu.

Penyerang Mesir berusia 29 tahun itu turut menjaringkan tiga gol dalam dua penampilan di Old Trafford sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Oktober 2021 @ 11:41 AM