RONALDO menjaringkan empat gol setakat ini.
RONALDO menjaringkan empat gol setakat ini.
Agensi

London: Bintang Manchester United, Cristiano Ronaldo dijangka mampu mengetepikan pencabar lain seperti Harry Kane, Romelu Lukaku dan Mohamed Salah untuk memenangi Kasut Emas Liga Perdana.

Ronaldo tampil cemerlang pada penampilan kedua di Old Trafford dengan meledak empat gol dalam tiga aksi pertamanya musim ini.

Dia menjaringkan dua gol ketika menentang Newcastle sebelum menggegar gawang Young Boys dalam saingan Liga Juara-Juara.

Penyudah berbisanya berterusan ketika Red Devils menentang West Ham di Stadium London apabila membuat lima percubaan tepat dan menyamakan kedudukan lima minit selepas Said Benrahma menjaringkan gol buat Hammers.

Ronaldo juga dinafikan dua penalti oleh pengadil, Martin Atkinson dalam perlawanan itu.

Hanya Salah, Michail Antonio dan Bruno Fernandes meledak lebih banyak gol dalam saingan liga daripada Ronaldo setakat ini.

Tetapi pemain berusia 36 tahun itu memiliki statistik hebat apabila menjaringkan 1.50 gol bagi setiap 90 minit dia bermain dan menggegar gawang lawan setiap 60 minit.

Selepas muncul penjaring terbanyak Serie A pada musim terakhirnya di Juventus, ramai menjangkakan dia mampu mengulanginya untuk meraih kasut emas di England.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 September 2021 @ 8:49 AM