DEPAY menyempurnakan penalti buat Belanda mendahului 1-0.
DEPAY menyempurnakan penalti buat Belanda mendahului 1-0.
AFP

Paris: Penyandang juara Piala Dunia, Perancis sekali lagi berdepan masalah dalam usaha mereka untuk mara ke final Piala Dunia 2022 di Qatar selepas seri 1-1 menentang Ukraine ketika Memphis Depay mencetuskan inspirasi kepada Belanda untuk menewaskan Montenegro awal pagi tadi.

Perancis melakarkan keputusan seri buat kali kelima dengan Anthony Martial meledakkan gol pertama di peringkat antarabangsa dalam tempoh lima tahun untuk memberi satu mata buat skuad kendalian Didier Deschamps di Kiev.

Penyerang Manchester United yang terlepas aksi akhir Euro 2020 kerana kecederaan lutut meledakkan gol kedua sepanjang 29 penampilan menyamakan kedudukan selepas gol menakjubkan pada babak pertama oleh pemain tengah Ukraine Mykola Shaparenko.

Les Bleus kekal empat mata mendahului Kumpulan D tetapi beraksi dua perlawanan lebih daripada Finland yang akan turun menentang Lyon Selasa ini.

Gol pada babak kedua Joel Pohjanpalo membantu Finland melakar kemenangan 1-0 ke atas Kazakhstan.

"Kami mungkin tidak berada dalam situasi terbaik sebelum perlawanan tapi ia tidaklah terlalu teruk. Cuma satu mata ketika kami jelas mahukan tiga mata," kata Deschamps.

Sementara itu Ukraine melakarkan keputusan seri kesemua lima perlawanan kelayakan setakat ini termasuk dua perlawanan menentang Perancis.

Sementara itu, Depay mengetuai Belanda menang 4-0 mengatasi Montenegro di Eindhoven yang membawa skuad kendalian Louis van Gaal di belakang pendahulu Kumpulan G, Turki yang menang 3-0 di Gibraltar.

Bintang Barcelona, Depay membuka jaringan menerusi penalti dan meledak gol kedua selepas sejam.

Kapten Georginio Wijnaldum menambah gol ketiga dan Cody Gakpo mencipta gol pertamanya buat pasukan kebangsaan menerusi sepakan lencong.

"Selepas gol pertama dijaringkan, kami bermain lebih tenang dan menampilkan persembahan yang sangat bagus," kata Van Gaal yang kembali buat kali ketiga mengendalikan Belanda.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 September 2021 @ 8:14 AM