PEMAIN TFC perlu bangkit dalam aksi seterusnya selepas mengalami dua kekalahan awal. FOTO ihsan TFC
PEMAIN TFC perlu bangkit dalam aksi seterusnya selepas mengalami dua kekalahan awal. FOTO ihsan TFC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Kerajaan negeri yakin skuad Terengganu FC (TFC) yang kini menghuni tangga tercorot Liga Super tanpa sebarang mata mampu bangkit pada aksi seterusnya, musim ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, walaupun skuad Penyu bermula dengan dua kekalahan berturut-turut, ia bukan aksi sebenar skuad itu.

Malah, beliau melihat dengan barisan pemain import dan tempatan berkualiti, skuad TFC antara pencabar terkuat dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Bagaimanapun, katanya, pemain perlu memperagakan aksi terbaik dalam perlawanan seterusnya selain perlu konsisten bagi memperbaiki kedudukan liga.

"Saya berpendapat 'enjin, TFC belum panas lagi terutama baru bermain dua perlawanan di tempat lawan selepas tiga perlawanan awal ditunda kerana pemain lawan dijangkiti Covid-19.

"Walaupun ia permulaan tidak digemari semua termasuk peminat, saya yakin pemain akan bangkit dalam aksi seterusnya menentang Sarawak United FC pada 17 April ini kerana sasaran kita sekurang-kurangnya untuk merangkul satu trofi kejuaraan.

"Buat peminat, sokongan anda ditagih pemain, justeru sokonglah pasukan seperti biasa bagi menyuntik semangat pemain walaupun kini belum memiliki sebarang mata," katanya.

Beliau ditemui selepas Majlis Berbuka Puasa, Solat Tarawih dan Sumbangan Duit Raya kepada atlet Sukan Malaysia (Sukma) Terengganu di Kompleks Sukan Negeri di Gong Badak, malam tadi.

Pada aksi pertama 6 April lalu, skuad kendalian Nafuzi Zain dikejutkan dengan kekalahan 0-3 kepada pasukan tanpa pemain import, Petaling Jaya City FC (PJ City FC) dan pada aksi kedua Ahad lalu, skuad Penyu tewas 1-2 kepada juara bertahan, Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 April 2022 @ 8:32 PM