PEMAIN TFC menjalani latihan di Pusat Latihan TFC Gong Badak. FOTO GHAZALI KORI
PEMAIN TFC menjalani latihan di Pusat Latihan TFC Gong Badak. FOTO GHAZALI KORI
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Terengganu FC (TFC) masih berada pada landasan terbaik untuk menghuni di kelompok ketiga terbaik Liga Super.

Pengurus skuad Penyu itu, Mohd Fazil Wahab berkata, beliau melihat skuad kendalian Tomislav Steinbruckner itu masih berpeluang memperbaiki kedudukan dalam carta liga musim ini berdasarkan prestasi yang dipamerkan pemain.

Bagaimanapun beliau menegaskan syaratnya skuad TFC wajib menamatkan baki enam perlawanan lagi dengan noktah kemenangan tanpa sebarang seri kerana ia bakal menyukarkan lagi untuk merealisasikan impian sebagaimana musim lalu.

Tahun lalu, TFC menamatkan saingan liga di tangga kedua dengan mengutip 44 mata hasil 22 perlawanan sekali gus layak beraksi dalam saingan Piala AFC (Konfederasi Bolasepak Asia) musim ini.

Setakat ini selepas 20 perlawanan, skuad itu mengumpul 32 mata menerusi sembilan kemenangan dan lima kali seri dengan menghuni di tangga keenam liga.

"Berdasarkan persembahan semasa pasukan, saya melihat skuad TFC masih berpeluang cerah untuk memperbaiki kedudukan lebih baik sekurang-kurangnya menamatkan saingan liga di tempat ketiga musim ini.

"Hal ini kerana selepas melihat prestasi semasa pasukan yang kian meningkat daripada satu perlawanan ke satu perlawanan sebagaimana ketika membelasah Kelantan FC 8-0 Isnin lalu di tempat lawan.

"Jadi misi kita adalah wajib menang, jika seri atau kalah, sudah pasti meranapkan impian pasukan untuk mencabar tiga kelompok pasukan teratas liga," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Ogos 2023 @ 2:06 PM