KONATE  (kiri)  diasak pemain Kuching City FC, Deigo Baggio di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.  FOTO Ghazali Kori
KONATE (kiri) diasak pemain Kuching City FC, Deigo Baggio di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. FOTO Ghazali Kori
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Episod malang ketika pasukannya tewas secara agregat 1-5 kepada Selangor pada aksi separuh akhir Piala Malaysia 2016 masih lagi berbekas buat arkitek Terengganu FC (TFC), Makan Konate.

Katanya, walaupun enam tahun berlalu lebih-lebih lagi selepas itu dia meninggalkan Liga Malaysia (Liga M) dan berkelana ke Indonesia, kenangan pahit ketika mewakili kelab T-Team sukar untuk dilupakan apatah lagi hanya selangkah untuk ke final.

Namun pemain beragama Islam yang fasih berbahasa Melayu itu berkata, bagi memastikan peristiwa hitam itu tidak berulang, dia berazam untuk memperagakan aksi terbaiknya bagi menebus kehampaan itu apabila skuadnya bakal membuat perhitungan dengan The Red Giants pada aksi kedua Piala Malaysia Kumpulan B di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) di Gong Badak, malam esok.

Pemain kebangsaan Mali berusia 29 itu juga menuntut rakan sepasukannya beraksi cemerlang untuk memburu kemenangan ketiga ke atas skuad kendalian Karsten Neitzel musim ini selepas cemerlang pada dua aksi Liga Super.

Bagaimanapun, Konate yang kembali mewarnai Liga M musim ini menjangkakan tentangan sengit bakal dihadapi pasukannya lebih-lebih lagi prestasi skuad The Red Giants berada pada tahap terbaik.

"Aksi malam esok bukan sesuatu yang mudah buat kami biarpun berjaya merakam kemenangan pada aksi pertama dan kedua Liga Super.

"Namun bagi memastikan kami berada pada landasan terbaik untuk menambah tiga mata lagi, saya nasihati diri dan rakan sepasukan agar perlu berusaha lebih keras lagi sehingga minit terakhir perlawanan selain kekal fokus.

"Saya juga turut mengharapkan rakan sepasukan dapat mengawal ketat pergerakan pemain lawan terutama penjaring terbanyak Liga Super musim ini, Ifedayo Olusegun kerana mereka juga datang dengan misi sama untuk meraih tiga mata.

"Jika perancangan menjadi, saya percaya rentak kemenangan kedua bakal dicapai lebih-lebih lagi moral pemain kini berada pada tahap terbaik selepas merakam kemenangan 2-0 ke atas Kuching City FC (KCFC), Ahad lalu," katanya ketika dihubungi.

Pada aksi Liga Super pusingan pertama musim ini, skuad kendalian Nafuzi Zain itu berjaya merakam kemenangan 3-1 pada aksi yang berlangsung di SSMZA manakala pusingan kedua skuad itu berjaya melebarkan rekod kemenangan selepas menang 2-1.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 September 2021 @ 9:15 PM