Pemain import dari Myanmar, Hein Htet Aung tonggak pasukan Selangor FC. FOTO Ihsan Selangor FC
Pemain import dari Myanmar, Hein Htet Aung tonggak pasukan Selangor FC. FOTO Ihsan Selangor FC
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Aksi mantap tonggak tengah Selangor FC dari Myanmar, Hein Htet Aung nyata menggembirakan pasukan dan kini dianggap antara aset utama skuad Red Giants untuk beberapa musim akan datang.

Ia dapat dilihat dalam tiga aksi terakhir Liga Super sebelum ini apabila pemain import itu berjaya menyumbang hantaran bantuan gol serta mencipta gandingan bersama penyerang utama, Ifedayo Olesegun kian menjadi dan semakin mengganas.

Malah, jumlah 10 gol dalam tiga aksi menyerlahkan betapa kreativiti Htet Aung di jentera tengah cukup padu dan mampu menambah kekuatan pasukan.

Jelas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon, beliau percaya tonggak muda berusia 19 tahun itu akan tampil lebih mantap selepas ini.

"Kita gembira dengan perkembangan Htet Aung sejak dia bersama pasukan pada awal musim ini. Peningkatan demi peningkatan bermula daripada pasukan Selangor II (beraksi di Liga Perdana) dan kini sertai pasukan utama (Selangor I dalam Liga Super), dia makin baik.

"Dia juga berjaya membina persefahaman baik dengan pemain lain terutama penyerang dan itu beri kelainan serta variasi kepada bentuk serangan pasukan Selangor," katanya kepada Arena Metro.

Dalam perkembangan sama, beliau menjelaskan kontrak Htet Aung bersama Selangor FC adalah selama tiga musim yang akan berakhir pada hujung 2023.

Justeru, beliau menolak khabar angin yang mengaitkan pihaknya baru melanjutkan kontrak Htet Aung sedangkan perjanjian jangka panjang bersama pemain lincah itu sudah ditandatangani sejak awal musim ini.

"Terkejut juga apabila viral kata kami (Selangor FC) tambah lanjutan kontrak. Semua itu tak benar kerana kami memang akan tandatangan mana-mana pemain dengan tempoh jangka panjang, dan bukan pendek.

"Ia penting kerana kami menekankan aspek pembangunan pemain terutama buat pemain muda seperti Htet Aung yang kami percaya ada potensi baik untuk menyerlah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Ogos 2021 @ 2:27 PM