IFEDAYO Olusegun. FOTO NSTP
IFEDAYO Olusegun. FOTO NSTP
Oleh Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Jentera serangan Selangor FC dijangka bertambah mantap apabila disahkan penjaring terbanyak Liga Malaysia 2020 dan 2021, Ifedayo Olusegun ada membuat perbincangan dengan pasukan itu.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon mengakui pihaknya ada membuat rundingan namun semuanya terpulang kepada pengendali Tan Cheng Hoe menentukan keputusan akhir.

Menurutnya, masa depan penyerang dari Nigeria itu akan ditentukan dalam masa terdekat.

"Saya hanyalah CEO yang hanya sign (tandatangan) kontrak, taktikalnya bergantung kepada Cheng Hoe.

"Mengenai (Ifedayo) ada bincang dan keputusan masih belum dibuat lagi," katanya.

Musim lalu, Ifedayo meninggalkan Red Giants bagi menyertai Melaka United.

Sepanjang bersama Selangor FC dari 2019-2021, dia berjaya meledak 50 gol dalam 43 perlawanan buat pasukan itu.

Ketika ini Selangor FC mengekalkan empat pemain import lama iaitu Yazan Al-Arab (Jordan), Hein Htet Aung (Myanmar) Alex Agyarkwa dan George Attram (Ghana).

Tiga pemain import yang dibawa masuk pula adalah pemain tengah skuad kebangsaan Jordan, Noor Al-Rawabdeh, Rauf Salifu (Ghana) dan terbaharu penyerang dari Colombia, Ayron Del Valle.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 January 2023 @ 2:26 PM