HTET Aung (kiri) cuba melepasi kawalan pemain Penang FC.
HTET Aung (kiri) cuba melepasi kawalan pemain Penang FC.
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pemain lincah Selangor FC Hein Htet Aung percaya 'air tangan' mujarab pengendali pasukan Tan Cheng Hoe mampu membawa skuad Gergasi Merah berada dalam kelompok teratas Liga Super musim ini.

Htet Aung berkata, taktikal dan idea diterapkan bekas pengendali Harimau Malaya itu adalah terbaik walaupun tewas kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) sebelum aksi Liga Super berhenti berehat.

Pemain kebangsaan Myanmar itu berkata, barisan pemain Selangor FC pada musim ini juga boleh dikatakan cukup mantap sekali gus membantu mencipta keputusan positif.

"Ketika ini, kita hanya merekodkan satu kekalahan saja manakala tiga kemenangan berjaya dicapai pada awal saingan Liga Super.

"Ini petanda yang baik cuma setiap perlawanan perlukan penambahbaikan dalam usaha meraih keputusan positif. Taktikal diterapkan jurulatih juga terbaik dan setakat ini saya tiada masalah mengikuti rentak beliau," katanya.

Mengikut rekod, ketika ini Selangor FC menghuni tangga keempat Liga Super selepas mencatatkan tiga kemenangan manakala masing-masing satu seri dan kalah menerusi pungutan 10 mata.

Selangor FC hanya mencatatkan kekalahan kepada JDT 4-0 sebelum Liga Super berhenti berehat sebelum beraksi pada pertemuan 'derby' Lembah Klang menentang Kuala Lumpur City FC pada 31 Mac ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mac 2023 @ 6:13 PM