CHENG Hoe (kiri) berbincang dengan pembantunya menjelang perlawanan derby Lembah Klang menentang KL City FC, malam esok. FOTO FB SELANGOR FC
CHENG Hoe (kiri) berbincang dengan pembantunya menjelang perlawanan derby Lembah Klang menentang KL City FC, malam esok. FOTO FB SELANGOR FC
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Selangor FC 'berperang' dengan masa menjelang aksi keenam Liga Super bertemu jiran tetangga, Kuala Lumpur City FC (KL City) di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur Cheras, malam esok.

Pengendali pasukan, Tan Cheng Hoe menjelaskan, beliau kehilangan hampir separuh tonggak utama yang beraksi untuk skuad Harimau Malaya dan hanya berjaya mengumpulkan pemain dalam tempoh singkat menjelang aksi derby Lembah Klang itu.

Antara pemain Red Giants yang terbabit dengan aksi skuad kebangsaan adalah Faisal Halim, Brendan Gan, Khuzaimi Piee dan Quentin Cheng yang bersama Harimau Malaya, manakala enam lagi iaitu V Ruventhiran, Zikri Khalili, Syahir Bashah, Harith Haiqal, Aliff Izwan dan Syahmi Adib Haikal dengan pasukan Bawah 22 (B-22) negara, yang menjuarai Piala Merlion di Singapura, Ahad lalu.

Tiga tonggak import Selangor FC turut dipanggil memperkuatkan negara masing-masing iaitu dua pemain Jordan, Yazan Al-Arab dan Noor Al-Rawabdeh selain pemain sayap Myanmar, Hein Htet Aung.

"Kami agak kesuntukan masa untuk menyediakan pasukan kerana lebih kurang 10 pemain beraksi dengan skuad kebangsaan senior dan B-22 (yang bersama skuad Malaysia sahaja).

"Ini menjadi sedikit kekangan masalah pada kita untuk sediakan pasukan terbaik," katanya.

Begitupun, bekas jurulatih Harimau Malaya itu tidak patah semangat apabila tetap positif menghadapi situasi itu.

Katanya, beberapa strategi sudah dirangka sepanjang dua minggu rehat Liga Super itu.

"Sebagai jurulatih dan barisan kejurulatihan, kami yakin dan begitu positif selama dua minggu latihan biarpun tanpa kelibat pemain kebangsaan," katanya.

Selangor dalam misi memburu kemenangan keempat selepas menang tiga aksi dalam lima perlawanan sebelum ini.

Ketika ini, skuad Merah Kuning berada di tangga keempat Liga Super dengan mengumpul 10 mata, dengan aksi terakhir menyaksikan mereka tumbang 0-4 kepada JDT, 17 Mac lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mac 2023 @ 4:46 PM