Pemain baharu Manchester United, Raphael Varane diperkenalkan di Old Trafford. FOTO AFP
Pemain baharu Manchester United, Raphael Varane diperkenalkan di Old Trafford. FOTO AFP
AFP

Manchester, United Kingdom: Raphael Varane diraikan sebagai pemain baharu Manchester United sebelum aksi pembukaan Liga Perdana mereka menentang Leeds selepas menandatangani kontrak empat tahun bersama Red Devils.

"Manchester United gembira mengumumkan perjanjian bersama Raphael Varane, menyaksikan dia kekal di kelab hingga Jun 2025," kata United dalam satu kenyataan.

United mengumumkan perjanjian tertangguh untuk menandatangani pemain antarabangsa Perancis dari Real Madrid pada 27 Julai, tetapi urusan melengkapkan tandatangan pemain berusia 28 tahun itu tertangguh dengan isu keperluan visa, kuarantin Covid-19 dan perubatan.

Penangguhan itu bermakna Varane belum didaftarkan tepat pada waktunya untuk melakukan penampilan menentang Leeds.

Dia diberikan sambutan hebat oleh 76,000 peminat di Old Trafford ketika melangkah masuk ke padang beberapa minit sebelum sepak mula.

"Manchester United adalah antara kelab ikonik dalam dunia bola sepak dan peluang untuk datang ke sini dan beraksi dalam Liga Perdana sesuatu yang tidak akan dilepaskan," kata Varane.

"Apa yang lebih saya mahukan adalah saya mahu mencapai kejayaan dalam karier dan saya tahu saya menyertai pasukan yang dipenuhi pemain hebat di mana semuanya mempunyai keinginan untuk menang perlawanan dan trofi."

Varane pemain yang memenangi Piala Dunia bersama Perancis pada 2018 turut memenangi empat gelaran Liga Juara-Juara dan tiga kejuaraan La Liga bersama Real Madrid sepanjang 10 tahun di ibu kota Sepanyol itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Ogos 2021 @ 8:44 PM