MAHALI akan memimpin jentera serangan. FOTO OWEE AH CHUN
MAHALI akan memimpin jentera serangan. FOTO OWEE AH CHUN
Mohd Amin Jalil


Seremban: Selepas tewas kepada Pahang di Kuantan Ahad lalu, skuad Petaling Jaya City FC (PJ City) mahu bersikap lebih berhati-hati bagi mengelak ia berulang apabila turun berdepan Terengganu FC (TFC) dalam saingan Liga Super, di Stadium MBPJ, malam esok.

Pengurus pasukan, K Rajendran berkata, pihaknya sedar akan kekuatan dimiliki TFC berbanding skuad bimbingan P Maniam.

"Saya sudah minta pemain PJ City supaya turun dengan berhati-hati kerana dari segi kekuatan, TFC jelas memiliki kelebihan dengan tenaga import baharu termasuk kehadiran semula Lee Tuck.

"Walaupun kita beraksi di laman sendiri, itu bukan suatu jaminan untuk mendapatkan kemenangan mudah kerana pasukan lawan boleh melakukan apa saja bagi mendapatkan tiga mata.

"Tambahan pula, TFC baharu sahaja kehilangan mata selepas seri dengan Sabah dan terdahulu tewas kepada Melaka United, jadi saya menjangkakan skuad berkenaan bakal turun dengan perancangan baharu untuk mendapatkan tiga mata," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Justeru, beliau mahu pemain PJ City kekal fokus dan memperagakan aksi terbaik dengan memastikan setiap bahagian terutama pertahanan berfungsi di tahap maksimum bagi mengekang jentera serangan TFC.

Menurutnya, PJ City bakal menurunkan barisan terbaik tanpa kapten pasukan K Gurusamy yang kurang cergas selepas dia mengalami kecederaan ketika beraksi menentang Pahang.

"Berikutan itu, pasukan akan mempertaruhkan Mahali Jasuli bagi memimpin jentera serangan dan kita berharap bakal mendapat keputusan yang positif pada aksi itu nanti.

"Sebaiknya, kita tidak mahu kehilangan mata dari laman sendiri supaya pasukan kekal pada posisi terbaik carta liga," kata Rajendran.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Ogos 2021 @ 6:51 PM