SKUAD bola sepak kebangsaan menjalani latihan.
SKUAD bola sepak kebangsaan menjalani latihan.
Syazwan Msar


KETIKA perlawanan Kumpulan G bagi Pusingan 2 Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Vietnam hanya berbaki sepuluh hari, pengendali Harimau Malaya Tan Cheng Hoe sudah diuji apabila lima tonggaknya mengalami kecederaan sekali gus kemungkinan terpaksa melupakan perlawanan akan datang.

Malah, perlawanan persahabatan menentang Sri Lanka pada hujung minggu ini mungkin tidak akan dibarisi oleh lima pemain antaranya Nor Azam Azih dan Daniel Amir yang mengalami kecederaan ketika beraksi bersama pasukan masing-masing pada perlawanan suku akhir Piala Malaysia baru-baru.

Pemain lain yang turut berkemungkinan terpaksa melupakan aksi pada 5 Oktober ini adalah J Partiban, Abdul Halim Saari dan pertahanan kental negara Shahrul Saad.

Cheng Hoe berkata, kecederaan yang melanda lima pemain skuad Harimau Malaya menyebabkan pengendali yang berasal dari Kedah pening kepala untuk membariskan pemain mantap pada perlawanan menentang Sri Lanka dan Vietnam nanti.

Beliau berkata, pihaknya terpaksa menggunakan Pelan B iaitu memanggil beberapa pemain lain antaranya Mohd Azizan Nordin yang kini beraksi bersama Sabah untuk memperkuatkan lagi barisan Harimau Malaya jika ada antara mereka tidak sempat pulih sebelum perlawanan penting itu.

“Semua 25 pemain sudah melaporkan diri dan sekurangnya lima pemain mengalami kecederaan sekali gus mengambil masa sekurangnya empat hari untuk pulih.

“Seperti sedia maklum, Vietnam sudah membuat persiapan awal dengan membariskan pemain terbaik untuk menerima kunjungan Malaysia nanti dan sudah tentu kita juga perlu berbuat demikian.

“Azam sememangnya mengalami kecederaan buku lali dan kita mengharapkan dia berada dalam pasukan kerana persembahan mantapnya sebelum ini ketika menentang Indonesia dan Emeriah Arab Bersatu (UAE),” katanya, ketika ditemui pada sesi latihan Harimau Malaya, di Padang Majlis Sukan Negara, di sini, hari ini.

Pasukan negara akan bertemu Sri Lanka di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 5 Oktober (Sabtu) dan disusuli aksi menentang Vietnam di Stadium Nasional My Dinh, Hanoi pada 10 Oktober (Khamis) nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 September 2019 @ 9:16 PM