Pengurus pasukan kebangsaan, Datuk Mohd Yusoff Mahadi. FOTO File NSTP
Pengurus pasukan kebangsaan, Datuk Mohd Yusoff Mahadi. FOTO File NSTP
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Kedudukan Tan Cheng Hoe selaku pengendali negara akan diputuskan selepas perbincangan dilakukan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin meneliti laporan prestasi pasukan sepanjang kempen pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 berakhir semalam.

Pengurus pasukan kebangsaan, Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, pihak pengurusan akan duduk meneliti dan melihat semula prestasi skuad Harimau Malaya termasuk merangka persiapan menjelang aksi pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia selepas ini.

Katanya, walaupun terdapat gesaan daripada beberapa pihak untuk menukar jurulatih negara, beliau menganggap prestasi Cheng Hoe masih pada tahap memuaskan.

"Kita masih belum ada apa-apa perbincangan sebab saya fikir selepas ini, bila kita balik Kuala Lumpur nanti kita akan ada perbincangan-perbincangan yang menjurus kepada persiapan lebih komprehensif untuk pusingan ketiga kelayakan.

"Kita belum menyentuh lagi soal jurulatih tapi sudah tentu kita memang nak satu pasukan yang lebih baik untuk pusingan ketiga dan kita akan adakan perbincangan termasuk dengan jurulatih untuk persiapan pusingan kelayakan itu nanti," katanya.

Malaysia yang menyasarkan untuk meraih sekurang-kurangnya 15 atau 16 mata di Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Emiriah Arab Bersatu (UAE) sekadar mampu mengumpul 12 mata daripada lapan aksi.

Hasil pungutan itu menyaksikan skuad negara sekadar menghuni tangga ketiga Kumpulan G dan terlepas tiket automatik ke pusingan akhir Piala Asia serta pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia.

Begitupun, anak didik Cheng Hoe masih berpeluang untuk menyambar tiket ke Piala Asia dengan wajib muncul selaku juara kumpulan pada pusingan ketiga kelayakan Piala Asia itu nanti.

Mengulas mengenai kesediaan pemiliki Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim untuk menguruskan pasukan kebangsaan, beliau yang juga Timbalan Presiden FAM menyerahkannya kepada kebijaksanaan Hamidin.

"Ini soalan terlalu tinggi untuk saya jawab, tapi biarlah Presiden yang jawab bukan untuk saya yang jawab. Jadi saya fikir Datuk Presiden ada pandangannya sendiri dan saya fikir beliau akan beri pandangan dan pendapatnya bila balik ke Kuala Lumpur nanti," katanya.

Sebelum ini, Tunku Ismail menawarkan diri untuk menguruskan skuad negara termasuk menyediakan barisan jurulatih dan kemudahan latihan buat pasukan.

Ia susulan aksi longlai pasukan negara yang tewas dalam dua aksi kelayakan kepada UAE (0-4) dan Vietnam (1-2) sebelum ini yang menyaksikan Malaysia terlepas tiket ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Jun 2021 @ 8:34 PM