CHENG Hoe (tengah) menyambut ulangtahun kelahiran ke-53 hari ini. FOTO FB FAM
CHENG Hoe (tengah) menyambut ulangtahun kelahiran ke-53 hari ini. FOTO FB FAM
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Sambutan hari kelahiran pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe hari ini pastinya manis dan akan dikenang selama-lamanya sebagai antara yang terindah sekiranya pasukan negara mampu melangkah jauh pada kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 nanti.

Cheng Hoe yang menyambut hari lahir ke-53 tahun mengakui mengidamkan untuk membawa Malaysia beraksi di pentas tertinggi termasuk pusingan Piala Asia dan pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia.

"Mana-mana jurulatih bukan sahaja sampai hari lahir baru nakkan sesuatu, tapi itu memang impian (layak peringat seterusnya) kalau kita menang dengan UAE (Emiriah Arab Bersatu).

"Sudah tentu selepas dengan UAE kita tak boleh lupa juga, kita ada dua perlawanan cukup penting untuk kita, jadi kita kena fokus setiap perlawanan yang ada, ambil satu perlawanan demi satu perlawanan," katanya.

Sementara itu, pemain kacukan negara, Brendan Gan mengakui agak terkilan tidak dapat membantu pasukan apabila berdepan UAE pada 3 Jun ini ekoran penggantungan satu aksi selepas mengumpul dua kad kuning.

"Saya agak kecewa tak dapat bermain untuk aksi itu, tapi sekali lagi saya katakan pasukan ini banyak pemain berkualiti yang mampu menggalas tugas.

"Saya akan sentiasa ada bersama pasukan dan menyokong dari belakang dengan memberi tunjuk ajar atau nasihat jika diperlukan oleh rakan sepasukan," kata Brendan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Mei 2021 @ 6:50 PM