BAKRI menganggap kehadiran beberapa pemain berdarah warisan lebih membawa impak dan kebaikan buat skuad Harimau Malaya. FOTO NSTP
BAKRI menganggap kehadiran beberapa pemain berdarah warisan lebih membawa impak dan kebaikan buat skuad Harimau Malaya. FOTO NSTP
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) digesa mengkaji dan membuat bedah siasat dalaman tentang prestasi tonggak naturalisasi sepanjang kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang sedang berlangsung ketika ini.

Menurut legenda bola sepak negara, Bakri Ibni, kehadiran tiga pemain naturalisasi iaitu Guilherme de Paula, Liridon Krasniqi dan Mohamadou Sumareh cukup mengecewakan dan kini dianggap liabiliti yang harus ditanggung skuad kebangsaan.

Sebaliknya, beliau menganggap kehadiran beberapa pemain berdarah warisan lebih membawa impak dan kebaikan buat skuad Harimau Malaya yang seharusnya menjadi fokus utama FAM daripada menawarkan tempat buat pemain naturalisasi.

"FAM kena duduk berbincang dan mengkaji semula program naturalisasi yang saya anggap gagal dan langsung tidak membawa faedah buat pasukan negara kita, sebaliknya ia menyebabkan pemain tempatan gagal mendapatkan peluang.

"Kalau ia diteruskan, kita akan rugi kerana perlahan-lahan pemain tempatan yang sama 'level' dengan naturalisasi ini diberikan peluang bermain sedangkan mereka (naturalisasi) ini tak bagus mana pun.

"Kalau mereka bagus dah tentu mereka boleh beri sumbangan kepada pasukan. Umur mereka pun dah di hujung usia, lebih baik kita fokus kepada pemain kacukan atau warisan saja.

"Dari segi semangat pun, bila kita lihat pemain kacukan cukup berkobar-kobar daripada naturalisasi. Kita boleh tengok macam mana Brendan Gan main, Corbin Ong main dan beberapa lain pemain kacukan yang main sungguh-sungguh," katanya kepada Arena Metro.

Sebelum ini, skuad Harimau Malaya ditunjukkan jalan keluar daripada Piala Dunia selepas gagal meraih kemenangan ke atas Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Vietnam pada kempen kelayakan ketika ini.

Harapan menggunung kepada trio naturalisasi untuk menambah kekuatan pasukan ternyata meleset apabila gagal memberi sumbangan yang diharapkan oleh jutaan peminat bola sepak tempatan.

Walaupun sudah tersingkir daripada Piala Dunia, skuad kendalian Tan Cheng Hoe masih berpeluang untuk merebut slot ke Piala Asia apabila dijadual beraksi dalam pusingan ketiga saingan Asia itu selepas ini.

Ujar Bakri lagi, untuk aksi terakhir kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 bertemu Thailand, Selasa ini, beliau berharap Cheng Hoe dapat menurunkan pemain yang mengikut kepada kekuatan dan kelemahan pasukan lawan.

"Sebenarnya dalam bola sepak, kalau kita kata 11 pemain utama adalah terbaik, sebenarnya tidak tepat juga kerana kita perlu membuat persiapan mengikut kelemahan pasukan lawan.

"Contoh, kalau Hassan Sani (bekas pemain negara era 80-an) kita tahu laju, jadi kita kena letak pemain yang tepat untuk mengekangnya. Pertahanan juga tak boleh rapat sangat dengan Hassan Sani sebab ia akan bagi ruang kepadanya untuk bergerak laju.

"Kalau kita lihat penyerang lawan laju, kita mungkin kena letak pemain lain yang sesuai dengan kelajuan pihak lawan untuk mengekangnya, jangan anggap 11 pemain utama itu sudah cukup nak halang," katanya yang pernah membantu Malaysia layak ke Sukan Olimpik Moscow 1980 sebelum kontinjen negara memboikot temasya berkenaan ekoran isu politik antarabangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Jun 2021 @ 10:08 PM