PETUGAS media menunggu di luar hospital. FOTO AFP
PETUGAS media menunggu di luar hospital. FOTO AFP
AFP

Copenhagen: Pemain tengah Denmark, Christian Eriksen masih lagi berada di hospital namun keadaannya stabil selepas rebah ketika aksi Euro 2020 menentang Finland ujar Kesatuan Bolasepak Denmark (DBU).

"Pagi ini kami sudah bersembang dengan Christian Eriksen, yang mengucapkan terima kasih kepada rakan sepasukan. Keadaannya stabil dan dia terus dirawat di hospital untuk pemeriksaan lanjut," jelas badan induk bola sepak berkenaan di Twitter.

DBU juga berkata, pasukan dan staf 'menerima bantuan krisis dan akan terus berada di sana bagi membantu antara satu sama lain selepas kejadian pagi tadi.

Bintang Inter Milan itu rebah pada minit ke-43 ketika Denmark memulakan kempen Euro 2020 menentang Finland.

Dia tidak bergerak sebelum staf perubatan datang untuk memberikan bantuan pernafasan dan terbaring selama 15 minit sebelum diusung keluar padang seterusnya dikejarkan ke hospital.

Perlawanan berkenaan terhenti seketika untuk menunggu pengesahan keadaan Eriksen namun selepas dilaporkan stabil dan sedar, ia disambung semula dengan kemenangan 1-0 buat pasukan bukan pilihan, Finland.

Sidang media dengan DBU dibatalkan pada sebelah pagi dan pasukan berkenaan juga membatalkan sesi latihan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Jun 2021 @ 7:25 PM