DBU menunjukkan pesanan daripada Christian Eriksen ketika dirawat di hospital. FOTO EPA
DBU menunjukkan pesanan daripada Christian Eriksen ketika dirawat di hospital. FOTO EPA
AFP

Copenhagen: Pemain tengah Denmark, Christian Eriksen dibenarkan keluar dari hospital selepas menjalani pembedahan yang berjaya, kata Kesatuan Bola Sepak Denmark (DBU), hari ini.

Pemain itu mengalami jantung terhenti pada Sabtu lalu pada hujung babak pertama perlawanan menentang Finland.

Semalam, doktor menyatakan Eriksen, 29, akan menggunakan alat defibrilator untuk mengesan dan memperbetulkan masalah rentak denyutan jantung.

"Pembedahan berjalan lancar dan sihat di bawah pemantauan." kata Eriksen dalam kenyataan.

"Terima kasih atas semua ucapan, memang menarik untuk dilihat dan dirasai."

Eriksen boleh melawat rakan sepasukannya di kem latihan di Helsingor, di utara Copenhagen. Dia kini boleh pulang dan menghabiskan masa bersama keluarganya.

Perancang Inter Milan itu rebah di padang pada minit ke-43 perlawanan pembukaan Kumpulan B antara Denmark dan Finland, Sabtu lalu.

Perlawanan itu dihentikan sebelum disambung semula lebih dua jam kemudian selepas Eriksen dikejarkan ke hospital dan Denmark tewas 1-0.

Denmark tewas 1-2 kepada Belgium, semalam pada perlawanan yang dihentikan pada minit ke-10 untuk memberi penghormatan kepada Eriksen.

Mereka mesti menewaskan Russia pada perlawanan terakhir kumpulan di Copenhagen, Isnin ini untuk mengintai peluang layak ke pusingan kalah mati.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Jun 2021 @ 12:40 AM