NEYMAR akan menjadi tunjang utama buat Brazil menjelang Copa America 2021. FOTO AFP
NEYMAR akan menjadi tunjang utama buat Brazil menjelang Copa America 2021. FOTO AFP

Sao Paulo: Copa America sentiasa hangat dengan berita mengejutkan namun ia tidak menghalang jurulatih Brazil, Tite menyenaraikan skuadnya untuk menyertai kejohanan itu dengan diketuai oleh Neymar.

Tite menyenaraikan skuad terakhirnya untuk kejohanan itu dengan mengekalkan barisan pemain sama ketika menewaskan Ecuador dan Paraguay 2-0 bulan ini.

Penyerang Paris Saint Germain (PSG) Neymar, yang terlepas kemenangan Brazil di Copa America 2019 akibat kecederaan, akan mengetuai skuad yang hanya melakukan satu pertukaran.

Pertahanan berusia 36 tahun Chelsea, Thiago Silva yang kembali daripada kecederaan akan menggantikan Rodrigo Caio dari Flamengo.

Dua pemain yang tidak akan bersama juara bertahan itu kerana kecederaan adalah Dani Alves dari Sao Paulo iaitu ketua pasukan, skuad 2019 dan Philippe Coutinho dari Barcelona.

Keputusan saat akhir membawa kejohanan itu ke Brazil dari Argentina yang dilanda pandemik Covid-19 mencetus kontroversi memandangkan tuan rumah baharu itu juga berada dalam situasi sama.

Mahkamah Tinggi Brazil akan menentukan sama ada Copa America dapat diteruskan atau tidak hari ini selepas terdapat bantahan atas risiko kesihatan.

Timbul khabar angin pemain Brazil akan memulaukan kejohanan kerana kecewa dengan keputusan negara itu menjadi tuan rumah.

Bagaimanapun, dalam satu kenyataan bersama pemain Brazil berkata mereka tetap akan bersama pasukan kebangsaan negara itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Jun 2021 @ 1:37 PM