Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Skuad Harimau Malaya mendapat tamparan hebat apabila pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim seolah tidak merestui penyertaan hampir separuh pemainnya bersama pasukan negara.

Jelas Tunku Ismail, pengendali kebangsaan, Tan Cheng Hoe (TCH) harus berani mencuba muka-muka baharu dari pasukan Liga Malaysia (Liga-M) yang lain berbanding hanya memborong pemainnya.

Katanya, risiko kecederaan antara perkara pokok yang membimbangkannya apabila tugasan bersama kem negara berakhir kelak.

"Tanya TCH (kenapa ramai pemain JDT dalam skuad Harimau Malaya). Saya pun tak tahu mengapa, beliau nak ambik ramai sangat pemain JDT. Saya tak setuju sebab majoriti ini pemain saya dan menambahkan risiko kecederaan kepada pemain-pemain saya.

"Banyak kali saya bertanya dengan beliau. Saya pun nak juga lihat TCH ambil pemain dari pasukan lain sebab saya juga nak tengok berapa jauh mereka mampu pergi," katanya ketika menjawab soalan peminat di laman Story Instagram miliknya, semalam.

Sebelum ini, Cheng Hoe menyenaraikan 13 pemain JDT daripada 25 tonggak yang dipanggil bagi menghadapi latihan pusat pasukan pada pertengahan bulan lalu, sebelum pemain kacukan Belgium-Malaysia, Dion Cools diumumkan sebagai tonggak ke-26 Selasa lalu.

Daripada 13 pemain skuad Harimau Selatan itu, sembilan daripadanya membarisi skuad utama dalam aksi Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang menyaksikan pasukan negara dibelasah 0-4.

ANTARA maklum balas TMJ. FOTO Instagram
ANTARA maklum balas TMJ. FOTO Instagram

Menurut Tunku Ismail lagi, kekalahan di tangan UAE kelmarin bukan saja menyebabkan kem negara dikritik, malah JDT juga menjadi sasaran kecaman peminat yang mengaitkan punca kemerosotan pasukan kebangsaan disebabkan oleh kelabnya, atau lebih tepat kurang meraih minit permainan.

"Bila kalah ramai nak sebut JDT, tapi bila menang pantang kalau penyokong JDT sebut ramai pemain JDT tu. Masa lima perlawanan sebelum ini pasukan Malaysia, kalah satu perlawanan pasukan Selatan/JDT.

"Dalam pasukan Malaysia semalam (kelmarin), pemain JDT mana yang tiada minit dalam liga Malaysia? Farizal (Marlias), Corbin (Ong), Aidil (Zafuan), Matt (Matthew Davies) kesebelasan utama JDT. "Safawi (Rasid), Syamer (Kutty Abba) dah main lapan aksi liga (Liga Malaysia) 2021. Mohamadou Sumareh dah ada lima penampilan...Liridon (Krasniqi) dipinjamkan kat Australia, (Guilherme) De Paula baru sertai JDT lepas jadi pemain utama kat Perak," tulisnya.

Selepas kekalahan di tangan UAE, skuad negara akan meneruskan kempen kelayakan bertemu Vietnam dan Thailand pada 11 dan 15 Jun ini bagi memburu dua kedudukan teratas Kumpulan G untuk mara secara automatik ke Piala Asia dan pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Jun 2021 @ 2:37 PM