TUNKU Ismail ketika meninjau padang Stadium Nasional Bukit Jalil bersama Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin (kiri) serta Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, baru-baru ini. FOTO FB FAM
TUNKU Ismail ketika meninjau padang Stadium Nasional Bukit Jalil bersama Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin (kiri) serta Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, baru-baru ini. FOTO FB FAM
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Melalui perkongsian terbaharu pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim di Instagramnya, beliau beriltizam untuk meneruskan usaha 'mematikan' bola sepak di Malaysia.

Tulis Tunku Mahkota Johor (TMJ) itu, usaha itu bukan baharu direncanakan, sebaliknya sudah lebih satu dekad pasukan dari selatan tanah air melakukannya dan oleh itu, TMJ menyeru peminat bola sepak di Malaysia menghentikan agenda itu.

"Bukan musim ini. Pada masa akan datang. Sebagai pembunuh bola sepak tanah air dari dulu saya dah banyak kali katakan yang saya akan terus membunuh bola sepak tanah air.

"Dah 11 tahun saya merosakkan bola sepak tanah air dalam setiap aspek. Saya menyeru kepada semua penyokong bola sepak tanah air bersatu padu dan beramai-ramai hentikan agenda saya. Terima kasih dan semoga berjaya," tulis TMJ.

KENYATAAN dimuat naik TMJ di Instagram miliknya.
KENYATAAN dimuat naik TMJ di Instagram miliknya.

Jika dilihat secara menyeluruh, kata-kata itu lebih kepada sarkastik dan itu sudah pasti cabaran kepada pasukan di dalam Liga Malaysia (Liga M) untuk menghentikan dominasi JDT dalam saingan liga tempatan.

Selain itu, JDT sudah berjaya menaikkan martabat bola sepak di Malaysia ke satu tahap lebih tinggi dan mengubah pelbagai dimensi antaranya gaji pemain, infrastruktur pasukan dan terbaharu, TMJ memberikan bantuan kewangan sebanyak RM300,000 semusim bagi penyelenggaraan padang yang dinaiktaraf menerusi geran Kementerian Belia dan Sukan (KBS) kepada kelab Liga M.

Usaha murni KBS dan TMJ ini bertujuan untuk memastikan saingan Liga M tidak berdepan masalah dengan keadaan padang yang sering rosak terutama ketika musim hujan.

Bahkan, kecemerlangan JDT turut berjaya membantu pasukan Harimau Malaya tampil lebih garang di peringkat antarabangsa.

Untuk rekod, sejak mengambil alih Persatuan Bolasepak Negeri Johor pada 2012 sebelum menjenama dan menswastakan skuad utama kepada JDT, TMJ terus melakukan pelbagai transformasi kepada pasukan dan berjaya mencipta sejarah demi sejarah.

Malah bermula dari 2014 sehingga 2023, Harimau Selatan berjaya memenangi 26 piala liga domestik dan Piala AFC serta mencatatkan rekod baharu, 100 jaringan gol dalam saingan Liga Super pada musim lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 January 2024 @ 8:51 AM