Pemain pertahanan Liverpool, Trent Alexander-Arnold. FOTO Agensi
Pemain pertahanan Liverpool, Trent Alexander-Arnold. FOTO Agensi
AFP

London: Pertahanan Liverpool, Trent Alexander-Arnold dinamakan dalam skuad England bagi Euro 2020 hari ini, sementara Jesse Lingard tersisih daripada senarai 26 pemain kendalian Gareth Southgate.

Alexander-Arnold terpaksa menunggu dengan penuh debar untuk disenarai dalam skuad kebangsaan negara itu selepas sekian lama terpinggir dari senarai pemain pilihan Southgate.

Pemain berusia 22 tahun itu diketepikan dalam skuad England bagi kempen kelayakan Piala Dunia pada Mac lalu.

Tapi penamat musim baik bersama Liverpool meyakinkan pengurus England itu untuk menyenaraikan pertahanan kanan berkenaan dalam skuadnya bagi Euro 2020, yang dijadualkan bermula 11 Jun ini.

Lingard, penyerang Manchester United yang mengharungi musim menakjubkan selepas dipinjamkan ke West Ham, adalah pemain berprofil tinggi yang dikorbankan ketika Southgate mengetepikan enam pemain daripada skuad sebelum ini.

Pemain berusia 28 tahun itu disenarai semula dalam skuad England pada Mac selepas sekian lama.

Aksi cemerlangnya, termasuk sembilan gol dalam 16 perlawanan, membolehkan skuad Hammers tempat ke saingan Liga Europa.

Beberapa pemain yang tersisih antaranya penjaga gol Sheffield United, Aaron Ramsdale; pemain tengah Southampton, James Ward-Prowse; penyerang Aston Villa, Ollie Watkins serta pertahanan tengah, Ben Godfrey dan Ben White.

Penyerang Manchester United, Mason Greenwood pula terpaksa menarik diri selepas dimaklumkan mengalami kecederaan oleh kelabnya.

"Saya fikir setiap pasukan berdepan kesukaran yang sama kerana kami mempunyai ramai pemain berbakat dalam negara ini," kata Southgate.

"Perkara paling sukar adalah tidak dapat menggunakan khidmat pemain yang sudah bersama kami dalam perlawanan lalu dan mempunyai sikap profesional yang baik."

Alexander-Arnold akan berdepan saingan Kyle Walker, Kieran Trippier dan Reece James di posisi berkenaan dalam pasukan.

Senarai Skuad England:

Penjaga Gol: Jordan Pickford (Everton), Dean Henderson (Man United), Sam Johnstone (West Brom)

Pertahanan: Luke Shaw (Man United), Harry Maguire (Man United), Ben Chilwell (Chelsea), Reece James (Chelsea), John Stones (Man City), Kyle Walker (Man City), Tyrone Mings (Aston Villa), Conor Coady (Wolves) Kieran Trippier (Atletico Madrid/ESP), Trent Alexander-Arnold (Liverpool)

Tengah: Declan Rice (West Ham), Jordan Henderson (Liverpool), Kalvin Phillips (Leeds), Mason Mount (Chelsea), Jude Bellingham (Borussia Dortmund/GER)

Penyerang: Phil Foden (Man City), Raheem Sterling (Man City), Jack Grealish (Aston Villa), Harry Kane (Tottenham), Marcus Rashford (Man United), Jadon Sancho (Borussia Dortmund/GER), Dominic Calvert-Lewin (Everton), Bukayo Saka (Arsenal)

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Jun 2021 @ 8:48 AM