BARISAN pemain Chelsea dan Arsenal bersalaman selepas tamat perlawanan. FOTO AFP
BARISAN pemain Chelsea dan Arsenal bersalaman selepas tamat perlawanan. FOTO AFP
AFP

London: Thomas Tuchel berkata Chelsea berdepan tugas besar untuk menamatkan saingan Liga Perdana di kelompok empat terbaik selepas tewas 0-1 kepada Arsenal, hari ini.

Skuad bimbingan Tuchel terlepas peluang untuk merampas kedudukan ketiga daripada Leicester selepas Emile Smith Rowe meledak gol tunggal Arsenal pada babak pertama di Stamford Bridge.

Smith Rowe menghukum hantaran ke belakang oleh Jorginho untuk meletakkan Tuchel dalam persaingan sengit merebut tiket kelayakan ke Liga Juara-Juara musim depan.

Chelsea yang menghuni tangga keempat mempunyai kelebihan enam mata berbanding West Ham di tangga kelima, yang bermain kurang satu perlawanan dan tujuh mata di depan Liverpool yang bermain kurang dua perlawanan.

Chelsea masih berbaki dua perlawanan lagi betemu Leicester serta Aston Villa dan Tuchel berkata: "Ia pertarungan yang besar, ia belum melegakan.

"Ia masih bergantung kepada kami. Satu lagi peluang dilepaskan. Kami mempunyai beberapa keputusan baik, jadi kami perlu menangani kekalahan ini," kata Tuchel.

Tuchel akui ia adalah kesilapannya di sebalik kekalahan pertama Chelsea dalam lapan perlawanan di semua pertandingan selepas melakukan tujuh pertukaran pemain berbanding ketika melakar kemenangan ke atas Manchester City, Sabtu lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Mei 2021 @ 12:51 PM