Pemain TFC meraikan kejayaan menewaskan JDT pada aksi Liga Super. FOTO TFC
Pemain TFC meraikan kejayaan menewaskan JDT pada aksi Liga Super. FOTO TFC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Pengarah Teknikal Terengganu Football Club (TFC), Sdn Bhd, Abdul Rahman Ibrahim menyifatkan kemenangan Terengganu FC (TFC) ke atas Johor Darul Ta'zim (JDT) adalah hasil persiapan rapi pasukan dan bukannya kemenangan nasib.

Malah bekas pengendali kebangsaan itu mempertahankan anak buah Nafuzi Zain yang dilihat memiliki semangat melawan kental dan bukannya tiada semangat kesukanan yang tinggi sebagaimana dilabel pengendali JDT, Benjamin Mora.

Abdul Rahman, 75, juga akui taktikal yang diterapkan Nafuzi dalam perlawanan itu menjadi sehingga menyukarkan pasukan Harimau Selatan bergerak bebas selain TFC mempunyai sekurang-kurangnya tiga peluang terbaik untuk menambah jaringan.

Bagaimanapun, beliau yang pernah membawa pasukan kebangsaan memenangi pingat perak Sukan Sea 1987 serta ketiga Piala Tiger (Piala AFF Suzuki) pada tahun 2000 tetap meletakkan JDT pasukan terbaik negara.

Sebelum saingan Liga Super melabuhkan tirainya, pemilik JDT, Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim pernah meletakkan TFC antara pencabar utama skuad Harimau Selatan itu selain Kedah.

"Bagi saya bukan kemenangan nasib sebaliknya persiapan rapi selain disiplin tinggi dipamerkan pemain adalah faktor kejayaan pasukan TFC menumpaskan JDT biarpun beraksi di tempat lawan, selain itu taktikal Nafuzi yang dilihat berkesan sehingga lawan sukar untuk memasuki kawasan kotak penalti juga antara kunci kejayaan pasukan TFC melebur rekod tanpa kalah JDT.

"Sebelum ini TFC banyak kali seri, tapi Nafuzi berjaya mengubah taktikal dan memperkemaskan pasukan sekali gus berjaya mencuri kemenangan yang begitu berharga di tempat lawan walaupun begitu sukar untuk untuk mengutip tiga mata di stadium mereka.

"Bagaimanapun kita perlu menerima hakikat JDT adalah sebuah pasukan yang bagus dan berkualiti, buktinya TFC nak menang perlukan persiapan yang rapi, Alhamdulillah kejayaan itu bakal memberi rangsangan kepada pemain untuk memburu kemenangan bertemu pasukan lain dalam perlawanan seterusnya," katanya.

Mengenai kritikan Mora terhadap pemain TFC, bekas jurulatih Terengganu itu hairan sambil menyatakan jurulatih kelahiran Mexico itu tidak sepatutnya berkata demikian.

"Bagi saya dia tidak bagus dan sukar menerima kekalahan sebaliknya mencari alasan menyalahkan pasukan lain, seorang jurulatih hebat tidak akan menyalahkan dan mengkritik pasukan musuh jika tewas.

"Sebaliknya mereka akan kritik dan menyalahkan pasukan dan pemainnya sendiri, mungkin dia (Mora) mengalami tekanan, tapi dalam bola sepak pasukan yang menjadi juara tak semuanya menang, mesti ada kalah dalam dua tiga perlawanan, jadi itu sebenarnya perkara biasa," katanya yang menuntut pemain TFC tidak mendabik dada sebaliknya perlu tingkatkan lagi prestasi.

Pada aksi di Stadium Sultan Ibrahim Iskandar Puteri, Sabtu lalu, TFC yang diletakkan sebagai pasukan bukan pilihan berjaya melebur rekod tanpa kalah 21 bulan di stadium berkenaan selepas menang 1-0 hasil jaringan Mohamad Hakimi Abdullah pada minit ke-56.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 April 2021 @ 5:55 PM