AKSI Mohamed Salah (kanan) ketika bertemu Real Madrid. FOTO AFP
AKSI Mohamed Salah (kanan) ketika bertemu Real Madrid. FOTO AFP
Agensi

London: Prestasi konsisten Liverpool sebelum ini berakhir selepas tewas kepada Real Madrid di Stadium Di Stefano pada aksi suku akhir pertama Liga Juara-Juara, Rabu lalu.

Selepas meraih tiga kemenangan berturut-turut di semua pertandingan, skuad bimbingan Jurgen Klopp tidak mampu mengekang kemaraan Real.

Skuad bimbingan Zinedine Zidane membuatkan anak buah Klopp seperti pasukan biasa namun masih ada peluang lagi untuk Liverpool bangkit pada aksi kedua suku akhir di Anfield minggu depan.

Untuk ketika ini, tumpuan lebih terarah bagi menempah tiket ke saingan Liga Juara-Juara musim depan.

Justeru itu, aksi saingan domestik bertemu Aston Villa esok cukup penting untuk Liverpool meraih tiga mata penuh.

Bagaimanapun dengan rekod buruk di Anfield, Liverpool berdepan tugas sukar tetapi pastinya tidak mahu semakin jauh tercicir daripada empat tangga teratas liga.

Reds perlu melakukan perubahan untuk bangkit semula bagi menempah tiket Liga Juara-Juara musim depan selain masih mempunyai peluang menumbangkan Real pada aksi suku akhir kedua.

Klopp ketika sidang media selepas perlawanan dengan Real tidak menolak mungkin akan melakukan rombakan terutama di bahagian serangan.

Namun beliau perlu meneliti segala aspek terlebih dahulu sebelum membuat keputusan menjelang pertemuan dengan Aston Villa.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 April 2021 @ 11:22 AM