MISI final Klopp menentang Chelsea pada perlawanan akhir Piala FA. FOTO AFP
MISI final Klopp menentang Chelsea pada perlawanan akhir Piala FA. FOTO AFP
AFP

London: Liverpool akan berusaha untuk memastikan pemburuan empat trofi masih boleh menjadi kenyataan dalam perlawanan akhir Piala FA esok menentang Chelsea dan mengalu-alukan pemilik baru Todd Boehly dengan kemenangan di Wembley.

Anak buah Jurgen Klopp memiliki empat baki perlawanan dalam usaha mereka mengejar sejarah dan menjadi pasukan Liga Inggeris pertama yang memenangi empat trofi utama dalam satu musim.

Mereka menewaskan Chelsea untuk menjulang Piala Liga pada Februari dan mara ke pusingan akhir Piala FA dan Liga Juara-Juara di mana akan menentang Real Madrid pada 28 Mei ini.

Tiada kelab Inggeris yang hampir melakukan perkara luar biasa itu namun Liverpool sedar harapan mereka untuk memenangi Liga Perdana mungkin pudar.

Manchester City kini mendahului dengan tiga mata selepas mencatatkan kemenangan 5-1 ke atas Wolves Rabu lalu dan memerlukan empat mata daripada dua perlawanan terakhir menentang West Ham dan Aston Villa untuk mengekalkan mahkota kejuaraan.

Namun, memasuki perlawanan ke-60 mereka pada musim ini faktor kepenatan mungkin akan menjadi halangan utama kepada Liverpool untuk memenangi Piala FA buat kali pertama sejak 2006.

Justeru untuk memastikan pemainnya berada dalam keadaan terbaik dari segi fizikal, Klopp melakukan beberapa perubahan berdepan Aston Villa namun kehilangan pemain tengah, Fabinho susulan kecederaan untuk aksi final ini.

Bagi kapten Liverpool, Jordan Henderson dia mengharapkan barisan pemain dapat mempamerkan satu lagi aksi terbaik diperagakan rakan sepasukannya di Wembley nanti.

"Semakin jauh kita pergi, semakin penting dan sengit perlawanan yang akan kita hadapi. Kita menggunakan semua pemain yang ada dan mereka menunjukkan persembahan yang baik (menentang Villa).

"Itulah bola sepak dan akan ada turun naiknya. Anda perlu sentiasa berikan yang baik dan pemain sudah melakukannya untuk jangka masa yang panjang.

"Mereka sangat mengagumkan. Teruskan bersatu pada detik yang penting dan kita akan mendapat ganjarannya nanti. Ayuh bersedia untuk perlawanan penting pada Ahad."

Sama seperti Liverpool, Chelsea juga akan menamatkan musim dengan 63 perlawanan namun skuad bimbingan Thomas Tuchel itu nampak lebih 'letih' dalam beberapa minggu ini.

Sebelum kemenangan 3-0 ke atas Leeds yang mengukuhkan kedudukan mereka di tempat ketiga, Blues hanya menang satu daripada lima perlawanan liga dengan mereka bergelut untuk bangkit selepas tersingkir di tangan Real Madrid pada suku akhir Liga Juara-Juara.

Ketidaktentuan mengenai masa depan kelab dan juga pemain turut menjadi faktor namun dengan pengambilalihan daripada konsortium diketuai Boehly tertakluk pada kelulusan Liga Perdana Inggeris (EPL), mereka sudah boleh merancang untuk musim hadapan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Mei 2022 @ 12:56 PM