FODEN (kiri) ketika menjaringkan gol kemenangan untuk Man City. FOTO EPA
FODEN (kiri) ketika menjaringkan gol kemenangan untuk Man City. FOTO EPA
AFP

Manchester: Pep Guardiola berkata Manchester City merasai tekanan harapan dipikul pada saingan Liga Juara-Juara selepas kelab itu memerlukan gol kemenangan Phil Foden minit ke-90 untuk menewaskan Borussia Dortmund 2-1 pada aksi suku akhir pertama, hari ini.

City kini sudah memenangi 27 daripada 28 perlawanan di semua pertandingan untuk kekal di landasan tepat merangkul empat kejuaraan, iaitu Liga Juara-Juara, Liga Perdana, Piala FA dan Piala Liga.

Bagaimanapun mereka masih gagal melepasi peringkat suku akhir Liga Juara-Juara sepanjang empat musim sebelum ini ketika di bawah bimbingan Guardiola.

"Kami merasai tekanan hari ini, dalam pertandingan ini dan di tempat sendiri. Sukar untuk menggambarkan reaksi kami," kata Guardiola.

"Adalah lebih baik untuk menang berbanding seri tetapi meskipun terikat 1-1, kami memerlukan minit ke-90 untuk memenangi perlawanan ini."

Kedua-dua pasukan akan bertemu sekali lagi di Jerman pada 14 April dengan pemenang bakal bertemu sama ada Bayern Munich atau Paris Saint-Germain pada aksi separuh akhir.

Dortmund kemungkinan terlepas untuk beraksi di Liga Juara-Juara musim depan selepas ketinggalan tujuh mata berbanding empat pasukan teratas di saingan Bundesliga.

Kevin De Bryune meletakkan tuan rumah di depan minit ke-19 dan kedudukan 1-0 kekal selepas berakhir babak pertama.

Ketika City di ambang kemenangan, Marco Reus menyamakan kedudukan minit ke-84 namun mujur Foden muncul wira City dengan menjaringkan gol kemenangan pada lewat permainan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 April 2021 @ 7:51 AM