PEMAIN tengah Manchester City Kevin De Bruyne (kanan) menjaringkan gol kedua City. FOTO AFP
PEMAIN tengah Manchester City Kevin De Bruyne (kanan) menjaringkan gol kedua City. FOTO AFP
AFP

London: Usaha Manchester City untuk mendapatkan trofi keempat yang masih belum pernah terjadi sebelum ini berada di landasan yang tepat apabila mereka berjaya mara ke separuh akhir Piala FA dengan Southampton turut layak ke kelompok empat terbaik.

City menundukkan Everton 2-0 manakala Southampton merangkul kemenangan selepas mengatasi Bournemouth 3-0.

Aksi City jauh daripada prestasi terbaik mereka di Goodison Park namun gol enam minit terakhir dari Ilkay Gundogan dan Kevin De Bruyne cukup membawa City ke separuh akhir buat kali keempat dalam lima musim.

Pep Guardiola menyifatkan pertembungan itu sebagai satu yang mencabar yang pernah dihadapi pemain sejak November ketika mereka merekodkan 25 kemenangan dalam 26 pertandingan dalam semua perlawanan.

"Ia adalah perlawanan paling sukar sejak rehat daripada pertandingan antarabangsa. Kami mencipta keputusan luar biasa dari segi hasil dan persembahan (sepanjang tempoh itu)," kata Guardiola.

"Malam ini sangat sukar, mereka memiliki pemain berpengalaman di pertahanan dan dua pemain bersedia untuk serangan pantas.

"Ia satu komitmen yang luar biasa daripada pemain saya. Satu kemenangan menakjubkan."

City merangkul tiga kejuaraan domestik dalam Liga Perdana, Piala FA dan Piala Liga buat kali pertama dalam sejarah bola sepak Inggeris dua musim lalu dan kini menjadi pilihan untuk mengulangi pencapaian itu.

Skuad kendalian Guardiola kini mencipta jurang 14 mata di persada Liga Perdana, akan berdepan Tottenham dalam final Piala Liga bulan depan dan diundi menentang Borussia Dortmund pada suku akhir Liga Juara-Juara.

Sementara itu Southampton mengetepikan pergelutan mereka dalam Liga Perdana selepas mengatasi Bournemouth 3-0 seterusnya mara ke separuh akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Mac 2021 @ 10:01 AM