ILAIX (kiri) gembira berjaya meledak gol sulung dalam saingan La Liga. FOTO EPA
ILAIX (kiri) gembira berjaya meledak gol sulung dalam saingan La Liga. FOTO EPA
AFP

Madrid: Barcelona meredakan tekanan menjelang aksi tetangga Madrid selepas mengalahkan Osasuna 2-0 bagi membolehkan mereka sekarang ini hanya dibezakan dua mata dengan pendahulu liga, Atletico Madrid.

Lionel Messi merencanakan kedua-dua jaringan di Pamplona yang disempurnakan Jordi Alba pada separuh masa pertama, manakala pemain berusia 18 tahun Ilaix Moriba pula masuk sebagai pemain gantian melepaskan rembatan lencong menarik di hujung separuh masa kedua.

"Saya sangat berterima kasih kepada Leo kerana menghantar bola kepada saya dan saya tidak tahu bagaimana dapat menyempurnakannya. Saya melakukan rembatan dengan kaki kiri dan gembira ia masuk ke dalam gawang.

"Saya tidak akan melupakan saat ini, sepanjang hayat saya," kata Ilaix.

Jaringan Ilaix itu adalah gol pertamanya dalam La Liga dan satu pencapaian buat pemain muda Barca itu, 24 jam sebelum kelab berkenaan mengharapkan masa depan lebih cerah menjelang pemilihan presiden baru.

Sebelum mengetahui siapa yang akan menang di antara Joan Laporta, Victor Font dan Toni Freixa, Atletico pula akan berdepan Real Madrid di Wanda Metropolitano, di mana Barcelona mengharapkan tuan rumah gagal mencatat kemenangan.

Beberapa minggu lalu, pasukan bimbingan Ronald Koeman kelihatan agak ketinggalan dalam perlumbaan merebut kejuaraan namun 10 kemenangan daripada 10 perlawanan menyaksikan mereka kembali di landasan terbaik.

Selepas bangkit dari ketinggalan dua gol untuk mengalahkan Sevilla di masa tambahan pada separuh akhir Copa del Rey, Barcelona sekarang ini dilihat mempunyai peluang untuk meraih sekurang-kurangnya satu atau dua trofi domestik, jika nasib menyebelahi mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Mac 2021 @ 9:56 AM