MEDIA KDA FC memaklumkan kecederaan yang dialami Ariff Farhan semasa latihan pramusim 2021 menentang Selangor FC II 24 Februari lalu. FOTO Ihsan KDA FC
MEDIA KDA FC memaklumkan kecederaan yang dialami Ariff Farhan semasa latihan pramusim 2021 menentang Selangor FC II 24 Februari lalu. FOTO Ihsan KDA FC
Izzali Ismail


Alor Setar : Berita kecederaan yang membabitkan pemain pertahanan Kedah Ariff Farhan ternyata meresahkan skuad Kedah Darul Aman FC (KDA FC) bimbingan Aidil Sharin Sahak dengan tempoh permulaan Liga Malaysia (Liga M) hampir bermula kira-kira seminggu sahaja lagi.

Media KDA FC juga turut melaporkan Ariff Farhan yang mengalami kecederaan kepala dalam latihan perlawanan pramusim 2021 ketika menentang Selangor FC II di Shah Alam pada Rabu lalu.

Turut dinyatakan, kecederaan kepala yang dialami Ariff memerlukan rawatan susulan dan mengambil tempoh pemulihan tertentu yang akan memberi kesan untuk dia kembali menyertai latihan dalam masa terdekat.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif KDA FC Khamal Idris Ali, pihaknya turut terkesan dengan insiden yang terjadi dan berharap semua pihak segera mendoakan kesihatan Ariff agar dia segera sembuh .

"Kita agak terkejut dan bersimpati dengan insiden yang berlaku itu, namun saya berharap Ariff akan segera sembuh selepas dia kini sedang menjalani rawatan yang diberikan.

"Dia memerlukan masa secukupnya untuk berehat dari sebarang aktiviti bersama pasukan sebelum mendapat pelepasan dari pihak yang memberi rawatan ke atasnya.

"Bagi memastikan perancangan pasukan berjalan lancar untuk menghadapi permulaan Liga M minggu depan, kita mungkin memerlukan pemain gantian untuk posisi berkenaan dan kini kita dalam proses mencari pemain baharu yang bersesuaian dan ia bergantung kepada perbincangan dengan ketua jurulatih," katanya.

Dalam perkembangan yang sama Ketua Jurulatih Kedah Aidil Sharin, mengakui terpaksa melakukan sedikit rombakan dalam latihan bagi memastikan posisi pertahanan Kedah terus kukuh dan bersedia untuk memulakan aksi Liga M minggu depan.

"Saya serahkan kepada pertimbangan pihak pengurusan untuk membuat keputusan dan menentukan sama ada mahu mendapatkan pemain gantian baharu di posisi berkenaan."

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Februari 2021 @ 6:40 PM