Pemain KDA FC, Renan Alves (kanan) cuba menghalang pemain Selangor FC pada perlawanan Liga Super. FOTO Bernama
Pemain KDA FC, Renan Alves (kanan) cuba menghalang pemain Selangor FC pada perlawanan Liga Super. FOTO Bernama
Izzali Ismail


Alor Setar: Kedah Darul Aman FC (KDA FC) kini perlu bersedia dengan rumusan baharu bagi mengukuhkan benteng pertahanan disebabkan kehilangan pemain import Renan Alves yang tidak dapat beraksi menentang Penang FC malam esok.

Ketiadaan Renan Alves yang menjalani hukuman penggantungan kad merah pastinya memberi tekanan buat pengendali KDA FC, Aidil Sharin Sahak yang perlu mencari strategi baharu bagi mengimbangi kekebalan benteng pasukan.

Menurut pengendali KDA FC itu, pihaknya kini bersedia meletakkan calon pemain pertahanan yang paling sesuai bagi memastikan benteng Kedah kebal dari dibolosi serangan Penang FC yang memiliki keupayaan menghasilkan gol.

"Bagi mengatasi masalah ketiadaan Renan Alves, saya perlu lebih berhati-hati dalam pemilihan untuk meletakkan pemain berwibawa kali ini kerana kita tidak lagi mahu kehilangan mata berharga lebih lebih lagi di laman sendiri.

"Kehilangan beliau tetap dirasai, namun kita harus terus pandang ke depan dengan membuat perancangan sebaik mungkin melalui skuad yang kita ada ini.

"Saya sudah merangka beberapa perancang lain yang mampu mengukuhkan ruang benteng Kedah dan saya berharap pemain yang dipilih nanti dapat memberi aksi terbaik mereka melalui persefahaman yang ada," katanya.

Ketua Jurulatih KDA FC, Aidil Sharin Sahak. FOTO Ihsan KDA FC
Ketua Jurulatih KDA FC, Aidil Sharin Sahak. FOTO Ihsan KDA FC

Aidil juga berkata beliau bagaimanapun sedikit lega apabila pemain pertahanan kirinya Ariff Farhan kini boleh kembali beraksi selepas tamat penggantungan kad kuning.

"Kehadiran semula pemain pertahanan kiri Ariff Farhan selepas tamat penggantungan adalah perkara yang baik untuk pasukan selain pemain-pemain muda lain termasuk Fairuz Zakaria juga menunjukkan peningkatan sedikit demi sedikit," katanya.

Menyentuh mengenai harapan pemain dan juga penyokong yang sentiasa mengharapkan kejayaan KDA FC, Aidil berkata begitu menghargai kesetiaan dan semangat tidak putus asa yang ditunjukkan sama ada waktu menang atau kalah.

"Saya tetap menghargai segala pengorbanan yang dilakukan mereka dalam usaha menaikkan moral buat pasukan yang bekerja keras mahu memburu kejayaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Ogos 2021 @ 2:12 PM