MENDY (kiri) meraikan jaringannya. FOTO AFP
MENDY (kiri) meraikan jaringannya. FOTO AFP
AFP

Bergamo: Ferland Mendy meletakkan Real Madrid menghampiri saingan suku akhir Liga Juara-Juara selepas meledak gol lewat permainan untuk membantu kelabnya mencatatkan kemenangan 1-0 ke atas Atalanta yang beraksi dengan 10 pemain di Bergamo.

Bintang Perancis itu memecah kebuntuan empat minit sebelum tamat permainan di Bergamo yang menyaksikan tuan rumah terpaksa beraksi dengan 10 pemain hampir 70 minit selepas Remo Freuler dibuang padang kerana mengasari Mendy.

Skuad bimbingan Zinedine Zidane akan melayan kunjungan Atalanta dalam aksi timbal balik di Madrid pada 16 Mac.

"Ia bukanlah persembahan terbaik kami tetapi gol di tempat lawan amat penting," kata Zidane.

"Kami tahu bahawa kami perlu beraksi pada perlawanan kedua dan perlu memenanginya."

Atalanta melakukan asakan di awal permainan tetapi rentak perlawanan berubah selepas pemain tengah Switzerland, Remo Freuler dibuang padang pada minit ke-17 kerana mengasari Mendy.

Skuad bimbingan Gian Piero Gasperini terus dirundung malang selepas penyerang, Duvan Zapata dikeluarkan kerana kecederaan dan digantikan dengan Mario Pasalic.

"Saya tidak tahu apa akan berlaku jika 11 pemain bertemu 11 pemain lawan.

"Saya dihukum kerana memperkatakan sesuatu di Serie A, jika saya melakukan perkara sama, UEFA akan menggantung saya selama sebulan. Tetapi bola sepak memang kejam," kata Gasperini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Februari 2021 @ 8:32 AM