CHENG Hoe perlu persiapkan pasukan dalam tempoh yang singkat. FOTO NSTP
CHENG Hoe perlu persiapkan pasukan dalam tempoh yang singkat. FOTO NSTP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Tempoh kira-kira dua bulan menjalani latihan dengan prestasi barisan pemain skuad Harimau Malaya masih menjadi tanda tanya antara cabaran pengendali skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe untuk menyiapkan barisan mantap menjelang kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Cheng Hoe berkata, barisan pemain Harimau Malaya kemungkinan akan dipanggil ke kem latihan awal Februari depan jika segala perancangan dan garis panduan dipersetujui pihak berkaitan.

Beliau berkata, barisan kejurulatihan tidak boleh melaksanakan latihan keras terhadap pemain kerana dibimbangi mereka akan mengalami kecederaan walaupun dilihat tempoh yang ada terlalu singkat.

"Kita tidak boleh melaksanakan latihan keras kepada pemain kerana dibimbangi mereka akan mengalami kecederaan sekali gus mungkin memberi kesan buruk kepada pasukan.

"Sememangnya satu cabaran besar buat jurulatih apabila perlu mempersiapkan barisan mantap dalam tempoh singkat lebih-lebih lagi latihan pula perlu dilaksanakan dalam keadaan terhad berikutan pandemik Covid-19.

"Cabaran ini perlu dilalui dan barisan kejurulatihan akan mencari jalan terbaik bagi memastikan barisan pemain Harimau Malaya lebih mantap menjelang perlawanan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023," katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Sebelum ini, skuad Harimau Malaya diberikan kebenaran untuk menjalani kem latihan pusat secara kuarantin di MSN Jalil dalam masa terdekat.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, perkara itu dipersetujui hasil perbincangan dengan Majlis Sukan Negara (MSN) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Venue latihan di MSN yang akan digunakan sebagai persiapan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 itu dijangka boleh menempatkan sehingga 30 hingga 40 orang termasuk barisan kejurulatihan, pegawai dan pemain.

Skuad negara kini menduduki tempat kedua Kumpulan G ketika saingan kelayakan itu berbaki tiga perlawanan iaitu berdepan Emiriah Arab Bersatu, Vietnam dan Thailand.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 January 2021 @ 8:59 PM