ATLETICO mengakhiri 2020 dengan terus berada di tangga teratas La Liga. FOTO AFP
ATLETICO mengakhiri 2020 dengan terus berada di tangga teratas La Liga. FOTO AFP
AFP

Madrid: Atletico Madrid meneruskan penguasaan di tangga teratas La Liga selepas Luis Suarez meledak gol kemenangan ketika mengalahkan Getafe 1-0, manakala Real Madrid hanya seri 1-1 bertemu Elche.

Suarez meledak jaringan pada minit ke-20 hasil tandukan menarik selepas menerima hantaran lintang Yannick Carrasco bagi membolehkan pasukan bimbingan Diego Simeone mengutip 35 mata.

Real yang ketinggalan dua mata di belakang terlepas peluang mencatat kemenangan selepas Fidel Chaves memadamkan gol pendahuluan Luka Modric.

Real Sociedad, Sevilla dan Villarreal kesemuanya tujuh mata di ketinggalan, dengan Barcelona dibezakan 10 mata di belakang Atletico untuk berada di kedudukan keenam selepas hanya seri 1-1 dengan Eibar semalam.

Atletico yang kurang dua perlawanan berbanding penyandang juara Real, mencatat kemenangan tipis dalam aksi ke-500 Simeone sebagai jurulatih kelab berkenaan.

"Apabila saya berada dalam kapal terbang menuju ke sini, saya terfikir jika meninggalkan pasukan (sebagai pemain) saya mahu kembali semula.

"Saya menemui pemain (Koke, Saul Niguez) yang mahu membantu kelab keluar dari prestasi buruk dan kami mempunyai hubungan dengan mereka bukan hanya sekadar bola sepak," kata Simeone, yang sudah 10 tahun menjadi jurulatih Atletico.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Disember 2020 @ 8:48 AM