DUA pemain import berkenaan adalah bagi mengisi kekosongan selepas Shitembi dan Herd mengalami kecederaan. FOTO Ihsan TFC
DUA pemain import berkenaan adalah bagi mengisi kekosongan selepas Shitembi dan Herd mengalami kecederaan. FOTO Ihsan TFC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Terengganu FC (TFC) bakal mengumumkan dua tonggak import baharu bagi memperkasakan pasukan itu bagi mengharungi saingan Piala AFC dan baki aksi Liga Super musim ini.

Pengurusnya, Zulfadli Rozi berkata, TFC kini hanya menunggu masa sesuai untuk mengumumkan kemasukan dua pemain berkenaan sebaik semua urusan berkaitan selesai.

Beliau menjelaskan kehadiran pemain berkenaan adalah bagi menggantikan kapten Namibia, Petrus Shitembi dan bekas tonggak kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Aston Villa, Christopher Herd yang mengalami kecederaan serius.

Katanya salah seorang daripada tonggak import berkenaan adalah daripada kuota Asia, namun beliau tidak mahu mendedahkan terlebih dahulu nama pemain berkenaan.

Kemasukan dua tonggak import berpengalaman itu akan memberi lebih pilihan kepada ketua jurulatih, Nafuzi Zain untuk memantapkan lagi pasukan terutama bakal bersaing dalam saingan Piala AFC.

"Perbincangan dengan dua pemain berkenaan sudah berada pada peringkat akhir, namun saya tidak mahu mendahului pihak pengurusan untuk mengumumkan pemain berkenaan.

"Tapi salah seorang daripadanya pernah beraksi dalam Liga Malaysia (Liga M) manakala seorang lagi pemain masih ada satu perlawanan dengan pasukannya pada Rabu sebelum datang ke Terengganu untuk proses kuarantin dan sebagainya," katanya.

Ketika ditanya mengenai kemungkinan pemain tengah Terengganu FC II (TFC II), Dechi Marcel, bakal beraksi semula dengan pasukannya, beliau menyerahkan kepada barisan kejurulatihan.

"Tidak semestinya Marcel akan kembali beraksi dengan TFC II, kita melihat secara positif apa keperluan pasukan di semua posisi, tapi yang pastinya jurulatih mempunyai pilihan terbaik sama ada kepada pasukan TFC ataupun TFC II," katanya.

Sebelum ini tersebar dalam media sosial selain diakui Nafuzi yang menyatakan bekas arkiteknya, Tuck dan pemain kelahiran Uzbekistan, Sanjar Shaakhmedov adalah calon terbaik untuk memperkuatkan pasukan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Mei 2021 @ 7:40 PM