BIELSA berang media mempersoalkan taktiknya. FOTO AFP
BIELSA berang media mempersoalkan taktiknya. FOTO AFP
AFP

London: Jurulatih Leeds United, Marcelo Bielsa menempelak wartawan yang dikatakan cuba untuk mengganggu kestabilan pemainnya dengan mengatakan beliau mengubah taktik serangan.

Pengendali kelahiran Argentina berusia 65 tahun itu mengubah nasib pasukan gergasi yang pernah bersaing dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas 16 tahun melalui derita kehilangan prestasi terbaik.

Strateginya ialah melakukan serangan setiap masa dan ia ternyata berkesan sehingga mendapat pujian namun terdapat beberapa kekalahan besar termasuk baru-baru ini dibelasah Manchester United 2-6.

Leeds akan berdepan Burnley, yang menduduki tempat ke-14 dan tujuh mata di atas zon penyingkiran, di laman sendiri.

"Ini adalah salah satu cara lain untuk mencemuh saya," kata Bielsa di sidang media selepas dipersoalkan media berkenaan strateginya.

Bielsa yang dikenali sebagai 'El Loco' (seorang yang gila), mengambil masa selama 40 minit untuk menganalisa kekalahan besar pasukannya di Old Trafford ketika menjawab soalan wartawan.

"Saya tidak risau sangat mengenai apa yang media fikirkan. Apa yang merisaukan saya ialah mengenai apa yang akan ditulis sehingga mampu mempengaruhi orang ramai.

"Dalam masa sama mereka akan melemahkan moral pemain dengan menyarankan bahawa corak permainan saya harus ditukar.

"Sudah tentu, semua ini akan berlaku apabila keputusan tidak memihak kepada kami. Saya tidak kisah jika dalam perlawanan sebelum ini, ada yang memberi pandangan berbeza," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Disember 2020 @ 8:23 AM