BARISAN pemain Terengganu ketika bertemu Selangor pada saingan Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, 11 Mac lalu. FOTO Bernama
BARISAN pemain Terengganu ketika bertemu Selangor pada saingan Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, 11 Mac lalu. FOTO Bernama
Malik Muhamad


KELAB Penyokong Bolasepak TFC tidak bersetuju jika gaji pemain bola sepak negeri dipotong berikutan tempoh sebulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan wabak Covid-19 yang melanda dunia termasuk Malaysia.

Presidennya, Mohd Isa Che Ariffin meminta Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) memikirkan kaedah terbaik bagi menjaga kebajikan pemain yang mempunyai bayaran gaji yang berbeza.

“Pandangan saya tidak sesuai jika gaji pemain Terengganu FC (TFC) dan Terengganu FC II (TFC II) dipotong ketika tempoh PKP yang sedang berkuat kuasa sehingga 14 April depan.

“Lagipun gaji semua pemain tidak sama kerana bergantung kepada kontrak yang dipersetujui dengan majikan, malah dalam situasi sekarang kebajikan pemain juga harus dijaga walaupun mereka tidak beraksi dan berlatih sendiri di rumah masing-masing.

“Namun jika kantung persatuan sedikit kempis, PBSNT boleh memikirkan kaedah lain untuk menjaga kebajikan mereka sebagai contoh membayar sebahagian dulu gaji ikut kemampuan persatuan dan bakinya boleh dilangsaikan selepas kewangan kembali kukuh atau ada kaedah lain yang difikirkan sesuai tanpa menganiaya pemain.

“Tapi jika pemain bersetuju untuk potong gaji itu, terpulang kepada mereka,” katanya.

Sebelum ini Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) bersetuju supaya pasukan yang beraksi dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) mengadakan perbincangan terbuka bersama pemain mengenai gaji, kontrak dan kebajikan mereka sepanjang tempoh penangguhan liga bermula 16 Mac lalu.

Namun FAM dan MFL tidak bermaksud semua pemain diminta untuk terus bersetuju dengan pemotongan gaji mereka, tapi demi mencapai keputusan menang-menang, alternatif terbaik perlu dibincangkan.

Akibat penularan wabak pandemik Covid-19 itu, sudah ada kelab memutuskan bersetuju untuk memotong gaji pemain dan jurulatih termasuk terbaru pasukan Juventus selepas semua acara sukan di Itali ditangguhkan berikutan wabak itu sekali gus memberi kesan kepada kantung pasukan berkenaan.

Sebelum ini pemain pasukan gergasi negara, Johor Darul Ta'zim (JDT) sedia 'berkorban' sebahagian gaji mereka untuk disumbangkan dalam tabung bencana di Johor.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Mac 2020 @ 2:30 PM