Pemain Selangor FC, Syahir Bashah
Pemain Selangor FC, Syahir Bashah
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Tonggak muda Selangor FC, Syahir Bashah memasang impian untuk membantu pasukan merampas slot ke saingan Asia musim ini.

Antara dua pertandingan kelab yang ditawarkan iaitu Liga Juara-Juara Asia (ACL) atau Piala AFC adalah sasaran utama buat pemain sayap berusia 20 tahun itu.

Syahir yang meledak satu gol ketika membelasah Harini FT 6-0 dalam aksi pusingan pertama Piala FA menegaskan, jaringan itu adalah yang pertama buatnya bersama skuad Red Giants dan ia membakar motivasinya untuk tampil lebih baik selepas ini.

"Untuk saya ini gol pertama untuk pasukan senior dan pertama untuk Selangor, Alhamdulillah. Saya harap ia akan lebih bantu saya untuk lebih ke depan dan tolong pasukan.

"Kalau boleh saya datang sini untuk ada piala bersama pasukan… macam saya tahu, Selangor nak ke Asia dan saya akan cuba yang terbaik untuk tolong (layak ke peringkat Asia) pasukan," katanya.

Ditanya keserasian bersama skuad kendalian Michael Feichtenbeiner, dia mengakui rakan sepasukan memberi kerjasama yang baik dan sentiasa menyokong biarpun baru saja menyertai pasukan musim ini selepas berhijrah dari Perak II.

"Sebagai pemain profesional, secepat mungkin kita kena sesuaikan diri dengan pemain baharu untuk dapatkan keserasian untuk tolong pasukan ke depan.

"Alhamdulillah, semua bagi sokongan yang baik," kata tonggak tengah yang turut boleh beraksi di bahagian sayap dengan memiliki aset tersendiri menerusi gelecekan lincah dan bijak menghidu peluang di depan gol.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Mac 2022 @ 4:42 PM