Mahrez (kanan) ledak gol ketiga Algeria menentang Zimbabwe dalam saingan Piala Negara Afrika. FOTO AFP
Mahrez (kanan) ledak gol ketiga Algeria menentang Zimbabwe dalam saingan Piala Negara Afrika. FOTO AFP
AFP

Johannesburg: Bintang Manchester City, Riyad Mahrez meledak jaringan buat Algeria ketika memastikan kemenangan 3-1 ke atas Zimbabwe dan melebarkan rekod tanpa kalah juara Afrika itu kepada 21 perlawanan.

Mahrez memanfaatkan sepakan lemah lawan ketika mengeluarkan bola dari kawasan pertahanan dan mengatasi jangkauan penjaga gol Elvis Chipezeze menerusi rembatan di penjuru gawang untuk mendahului selesa menerusi tiga gol pada saingan kelayakan Piala Negara Afrika 2021.

Namun pasukan di tangga kedua, Zimbabwe berjaya memperoleh gol saguhati lewat permainan menerusi Tino Kadewere ketika rekod tanpa kalah mereka lebur dalam Kumpulan H dan ketinggalan lima mata di belakang Algeria selepas tiga perlawanan.

Zambia, yang mengharungi permulaan buruk dalam Kumpulan H dengan kekalahan besar di Algeria dan kekalahan mengejut kepada Zimbabwe, mengatasi Botswana, 2-1 di Lusaka untuk merapatkan jarak satu mata dengan Zimbabwe.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 November 2020 @ 10:34 AM