Pemain pertahanan Manchester City, Kyle Walker (kiri) dihalang pemain Sheffield United pada aksi Liga Perdana. FOTO AFP
Pemain pertahanan Manchester City, Kyle Walker (kiri) dihalang pemain Sheffield United pada aksi Liga Perdana. FOTO AFP
AFP

Sheffield, United Kingdom: Manchester City kini dua mata daripada kelompok pasukan teratas Liga Perdana Inggeris ketika rembatan jarak jauh Kyle Walker sudah cukup untuk mencatat kemenangan ke atas Sheffield United 1-0 di Bramall Lane, sebentar tadi.

Skuad kendalian Pep Guardiola hanya menang dua daripada lima perlawanan pembukaan liga musim ini dan belum mempamerkan prestasi terbaik menjelang kunjungan Liverpool ke Etihad minggu depan.

Pelawat yang menguasai perlawanan, hanya berjaya menemui jaringan menerusi Walker yang menampakkan persembahan mereka agak goyah dan merasai ketiadaan penyerang utama.

Ferran Torres beraksi sebagai penyerang utama ketika ketiadaan Sergio Aguero dan Gabriel Jesus akibat kecederaan malah sayap Sepanyol itu memiliki deretan peluang menjaringkan gol pertama dalam saingan Liga Perdana.

Aaron Ramsdale terpaksa bekerja keras di gawang Blades ketika menafikan dua kali percubaan dekat Torres termasuk percubaan jarak jauh Rodrigo.

Walker akhirnya memecah kebuntuan gol dari jarak pada minit ke 28 ketika dia melakukan rembatan rendah melepasi jangkaan Ramsdale tetapi pemain kebangsaan England itu hanya meraikannya dengan cara senyap ketika berdepan kelab zaman kanak-kanaknya itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Oktober 2020 @ 11:16 PM