THOMAS Mueller. FOTO AFP
THOMAS Mueller. FOTO AFP
AFP

Berlin: Penyerang Bayern Munich, Thomas Mueller berkata juara bertahan Liga Juara-Juara itu gembira beraksi sekali lagi dalam 'kejohanan mereka' menjelang perlawanan peringkat kumpulan di Lokomotiv Moscow.

Bayern berkunjung ke ibu kota Rusia pada awal pagi Rabu ini selepas membelasah Atletico Madrid 4-0 dalam aksi pembukaan Kumpulan A.

"Kami gembira beraksi dalam kejohanan kami,'' kata Mueller dalam sidang akhbar pra perlawanan hari ini.

"Kami mahu meneruskan momentum. Kami bertambah yakin, prestasi pasukan menjadi, semuanya positif."

Bayern yang menang enam aksi terakhir dalam semua kejohanan mara ke setiap saingan kalah mata Liga Juara-Juara dalam 12 musim terakhir.

"Bayern selalunya pasukan pilihan,'' kata Mueller yang menjulang Piala Eropah dua kali ketika bersama gergasi Bavaria itu.

"Pada masa sekarang kami berasa sangat kuat tetapi ia tidak akan membantu kami pada Mac dan April apabila tiba di saingan kalah mati. Tetapi saya percaya kemampuan kelab dan pasukan."

Lokomotiv pula hanya mampu seri 2-2 di Salzburg minggu lalu sebelum tewas mengejut di tangan Rotor Volgograd dalam saingan Liga Perdana Rusia.

Tetapi pengendali Bayern, Hansi Flick memberi amaran kepada pemainnya supaya tidak memandang mudah kelab yang menduduki tempat terakhir dalam kumpulan pada musim 2018-19.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Oktober 2020 @ 11:13 PM