AARON-WOOI YIK gagal kekang penguasaan beregu China, Liang Wei Keng-Wang Chang. -FOTO AFP
AARON-WOOI YIK gagal kekang penguasaan beregu China, Liang Wei Keng-Wang Chang. -FOTO AFP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Beregu lelaki negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik perlu menunggu lebih lama untuk meraih gelaran pertama untuk musim ini apabila tunduk kepada lawannya dalam aksi final Terbuka China, sebentar tadi.

Aaron-Wooi Yik tumpas di tangan pasangan China Liang Wei Keng-Wang Chang 21-12, 21-14 pada aksi yang berlangsung di Gimnasium Pusat Sukan Olimpik di Changzhou.

Pada pertemuan terbabit menyaksikan, Aaron-Wooi Yik cukup sukar untuk menyekat kemaraan pasangan China itu selain sering melakukan kesilapan mudah sekali gus memberi ruang dan peluang kepada lawannya memungut mata untuk memenangi perlawanan.

Malah, ini adalah kali kedua pasangan China itu menafikan Aaron-Wooi Yik untuk meraih gelaran sulung mereka selepas turut melakukannya pada final Terbuka India, Januari lalu.

Selepas kecundang di Terbuka India, Aaron-Wooi Yik turut gagal merekodkan gelaran juara selepas tewas di tangan beregu India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shett ketika final Terbuka Indonesia, Jun lalu.

Selaku juara, Wei Keng-Wang Chang membawa pulang hadiah wang tunai AS$148,000 (RM692,122) manakala Aaron-Wooi Yik meraih AS$70,000 (RM327,355).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 September 2023 @ 6:17 PM