AARON-Wooi Yik masih terus menagih sokongan penyokong selepas menamatkan kempen 2023. FOTO AFP
AARON-Wooi Yik masih terus menagih sokongan penyokong selepas menamatkan kempen 2023. FOTO AFP
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Beregu nombor tiga dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik mengharapkan orang ramai akan terus memberi sokongan kepada mereka tahun depan meskipun menutup saingan Jelajah Dunia Akhir BWF kurang memuaskan di Hangzhou, China.

Bagi Wooi Yik, dirinya amat menghargai sokongan peminat yang sentiasa menyokong dalam apa jua keadaan dan mereka akan kembali meningkatkan prestasi sebelum turun hadapi kejohanan awal tahun hadapan.

"Kami akan berehat beberapa hari dan selepas itu akan kembali menjalani latihan bagi persiapan Terbuka Malaysia.

"Terima kasih di atas sokongan anda semua kepada kami pada tahun ini, diharapkan anda semua akan terus memberikan sokongan kepada kami dan jumpa pada tahun depan," katanya.

Tambahnya, dia turut menyedari masih banyak kerja harus dilakukan agar dapat tampil dengan prestasi yang lebih konsisten terutama di Olimpik Paris 2024 nanti dalam mencari emas pertama Malaysia.

Untuk rekod, sepanjang tahun 2023, Aaron-Wooi Yik hanya meraih gelaran pertama dalam saingan Jelajah Dunia apabila menjuarai Terbuka Denmark selain muncul naib juara Terbuka India, Terbuka Indonesia dan Terbuka China.

Mereka juga muncul naib juara Kejohanan Asia serta memenangi gangsa di Kejohanan Dunia dan Sukan Asia Hangzhou.

Terdahulu, dalam perlawanan terakhir peringkat Kumpulan A, beregu negara itu wajib menang dan ia bermula baik selepas menang set pertama namun gagal menghalang beregu nombor satu dunia dari China, Liang Wei Keng-Wang Chang 21-18, 14-21, 12-21.

Menurut Wooi Yik, set pertama menyaksikan pasangan China itu banyak melakukan kesilapan dan membolehkan mereka mencatat kemenangan.

"Namun, set kedua Wei Keng-Wang Chang sudah menemui rentak permainan dan memberi kesukaran kepada kami," katanya.

Selepas tiga perlawanan, beregu negara itu gagal mencatat sebarang kemenangan dan mereka menutup kejohanan berkenaan di kedudukan tercorot Kumpulan A.

Sebagai rekod, Aaron-Wooi Yik gagal melepasi saingan peringkat kumpulan dalam empat penampilan mereka di kejohanan akhir termasuk musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Disember 2023 @ 7:18 PM