WEI Chong dan Kai Wun tewas di tangan beregu senegara. FOTO BAM
WEI Chong dan Kai Wun tewas di tangan beregu senegara. FOTO BAM
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Sebelum menyertai Sukan Sea buat kali pertama Mei depan, gandingan Man Wei Chong-Tee Kai Wun berusaha mengutip pengalaman beraksi di pentas antarabangsa sebanyak mungkin dan kekalahan di Terbuka Jerman seawal pusingan pertama adalah pengajaran sangat berguna buat mereka.

Langkah beregu yang berada pada ranking ke-45 dunia itu tersekat di peringkat awal selepas tewas straight set 13-21, 17-21 kepada rakan senegara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani semalam.

Menurut Wei Chong, tahap kompetitif Terbuka Jerman sangat berbeza jika dibandingkan dengan kejohanan-kejohanan disertai musim lalu yang menyaksikan mereka berjaya merangkul dua kejuaraan.

"Masih banyak kelemahan perlu diperbaiki selain ada jurang antara kami dengan pemain-pemain yang menyertai kejohanan Jelajah Dunia Super 300 ini," katanya.

Ujar pemain berusia 22 tahun kelahiran Melaka itu, mereka berasa agak gementar di kejohanan itu kerana ramai pemain berkelas dunia mengambil bahagian.

"Sudah tentu ia jauh berbeza jika dibandingkan dengan kejohanan-kejohanan tahun lalu. Berhubung perlawanan dengan Sze Fei-Izzuddin, saya rasa jurang antara kami dan mereka masih jauh. Masih banyak yang perlu kami belajar daripada mereka selepas ini," katanya.

Justeru, Wei Chong berharap mereka dapat menggunakan masa yang ada bagi mencari serta memperbaiki kelemahan menjelang kejohanan Seluruh England di Birmingham bermula 16 hingga 20 Mac ini.

"Sudah tentu kami perlu bekerja lebih keras untuk melakukan persiapan lebih rapi jika mahu melangkah jauh pada kejohanan-kejohanan akan datang. Fokus kami selepas ini terarah kepada Seluruh England," ujarnya.

Wei Chong-Kai Wun dianggap antara beregu yang menunjukkan peningkatan mendadak tahun lalu apabila menampilkan aksi konsisten selain memenangi kejohanan Antarabangsa Sepanyol dan Terbuka Poland.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Mac 2022 @ 4:11 PM