BEREGU utama, Aaron Chia (kiri) dan Soh Wooi Yik bakal menjadi pertaruhan penting buat skuad Piala Thomas negara memburu mata. FOTO ARKIB NSTP
BEREGU utama, Aaron Chia (kiri) dan Soh Wooi Yik bakal menjadi pertaruhan penting buat skuad Piala Thomas negara memburu mata. FOTO ARKIB NSTP
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Skuad badminton lelaki negara dilihat tidak berdepan masalah untuk mara sekurang-kurangnya ke suku akhir saingan Piala Thomas di Chengdu, China, bermula 28 April sehingga 5 Mei depan.

Ia selepas Malaysia diundi dalam Kumpulan D bersama-sama gergasi Eropah yang juga juara edisi 2016, Denmark selain Hong Kong serta Algeria dengan dua pasukan teratas bagi setiap kumpulan akan mara ke suku akhir.

Pada majlis undian yang disiarkan secara langsung dari Chengdu, juara bertahan, India berdepan ujian getir apabila diundi bersama juara 14 kali, Indonesia, Thailand dan England dalam Kumpulan C.

Manakala China selaku tuan rumah yang kali terakhir muncul juara pada edisi 2018, diletakkan dalam Kumpulan A bersama-sama Korea Selatan, Kanada serta Australia.

Juara edisi 2014, Jepun pula diundi bersama Taiwan, Jerman serta Republik Czech dalam Kumpulan B.

Pada edisi 2022 di Bangkok, skuad negara tewas 2-3 di tangan India dalam aksi suku akhir dengan kali terakhir Malaysia menjulang trofi berprestij itu adalah pada 1992 di Kuala Lumpur.

Sejak itu, pencapaian terbaik skuad negara adalah empat kali muncul naib juara pada edisi 1994 di Jakarta, Indonesia, 1998 di Hong Kong, 2002 di Guangzhou, China dan 2014 di New Delhi, India.

Kali terakhir Malaysia mara ke separuh akhir adalah pada edisi 2016 di Kunshan, China sebelum tewas 2-3 kepada Denmark.

Sementara itu, dalam saingan Piala Uber pula, Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama Thailand, Taiwan dan Australia.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Mac 2024 @ 6:50 PM