PEARLY dan Thinaah tewas pusingan pertama di China.
PEARLY dan Thinaah tewas pusingan pertama di China.
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah mahu segera melupakan kekalahan seawal pusingan pertama Masters China hari ini dan memberi fokus untuk bangkit semula pada tahun depan.

Gandingan negara itu memberi tentangan sengit kepada lawan dari Korea Selatan, Jeong Na Eun-Kim Hye Jeong sebelum terpaksa akur tewas 11-21, 21-15, 20-22 pada perlawanan yang berlangsung di Gimnasium Shenzen Bay, hari ini.

Ia kekalahan kali pertama Pearly-Thinaah di tangan lawan mereka itu dalam dua pertemuan selepas memenangi aksi pertama di Masters Malaysia, Mei lalu.

"Tahun ini ada turun dan naik, tetapi lebih banyak turun. Ia sesuatu yang kami perlu atasi dan perbaiki bagi menjadi lebih baik pada tahun depan.

"Tahun depan cukup penting untuk kami kerana ada Sukan Olimpik. Kami mahu melupakan kekecewaan tahun ini dan bermula semula tahun depan dengan pemikiran yang lebih baik," kata Thinaah kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Mengulas kekalahan di tangan Na Eun-Hye Jeong yang menyaksikan kebangkitan lawan mereka menyamakan kedudukan 20-20 di set ketiga, Thinaah akui gandingan Korea itu itu mempamer aksi lebih konsisten.

"Pada situasi mata penting itu, mereka (beregu Korea) lebih berani dan pukulan mereka lebih konsisten berbanding kami," katanya.

Tahun ini menyaksikan Pearly-Thinaah muncul naib juara dua kali iaitu ketika Masters Malaysia dan Terbuka Hong Kong selain gagal mempertahankan kejuaraan Terbuka Perancis yang dimenangi mereka tahun lalu selepas terpaksa menarik diri susulan kecederaan dialami Pearly.

Turut gagal meneruskan kemaraan adalah beregu campuran profesional negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie yang tewas di tangan pasangan Hong Kong, Tang Chun Man-Tse Ying Suet 17-21, 20-22.

Satu lagi beregu campuran profesional negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing menerima nasib sama apabila tewas kepada gandingan Singapura, Hee Yong Kai Terry-Tan Wei Han Jessica 16-21, 21-23.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 November 2023 @ 2:26 PM