TANG Jie (kanan) dan Ee Wei kini menduduki ranking kesembilan dunia. FOTO ARKIB NSTP
TANG Jie (kanan) dan Ee Wei kini menduduki ranking kesembilan dunia. FOTO ARKIB NSTP
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei digesa supaya tidak mudah berpuas hati dengan kejayaan melonjak di kedudukan ranking kesembilan dunia.

Jurulatih beregu campuran negara, Nova Widianto berkata, kedudukan semasa ranking itu mencerahkan Tang Jie-Ee Wei untuk melayakkan diri ke temasya Sukan Olimpik Paris 2024.

Jelas Nova, perjalanan masih panjang buat anak buahnya itu kerana banyak lagi kejohanan perlu disertai sebelum saingan kelayakan ke Olimpik Paris berakhir pada 28 April tahun depan.

"Berbekalkan hasil (ranking) ini tentu sahaja peluang ke Olimpik lebih cerah, tetapi perjalanan masih panjang kerana perlu menghadapi banyak lagi kejohanan. Tetapi Tang Jie-Ee Wei sudah berada di landasan yang tepat.

"Bagi aksi di Hong Kong, kami sasar untuk dapatkan mata kelayakan iaitu sekurang-kurangnya mara ke suku akhir. Sekiranya dapat melangkah lebih jauh ke separuh akhir, itu lebih bagus," katanya.

Tang Jie-Ee Wei mencetuskan sensasi apabila mara ke separuh akhir Terbuka China, minggu lalu sebelum tewas 16-21, 13-21 kepada beregu Perancis, Thom Gicquel-Delphine Delrue.

Kejayaan mara buat kali pertama ke separuh akhir saingan Jelajah Dunia Super 1000 itu menyaksikan Tang Jie-Ee Wei melonjak dari ranking 11 ke ranking kesembilan dunia sebaik sahaja ranking Persekutuan Badminton Dunia (BWF) dikemas kini.

Gandingan negara itu cemerlang sepanjang tahun ini apabila meraih tiga kejuaraan termasuk Cabaran Antarabangsa Iran (Februari), Orleans Masters (April) dan Terbuka Taiwan Jun lalu.

Tang Jie-Ee Wei akan beraksi pada pusingan pertama Terbuka Hong Kong di Hong Kong Coliseum, esok.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 September 2023 @ 2:21 PM